KLIP hab penting perdagangan maritim antarabangsa

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

KUALA LINGGI 23 Januari – Pembinaan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) bakal melonjakkan Melaka sebagai sebuah negeri yang menjadi hab penting dalam perdagangan antarabangsa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelabuhan antarabangsa itu mampu menawarkan pelbagai perkhidmatan berkaitan industri maritim.

Jelas Ketua Menteri, KLIP adalah satu pencapaian membanggakan bagi Melaka khusus dalam usaha Kerajaan Negeri memperkasa industri maritim di pentas dunia.

Menurut beliau, pembinaan KLIP dijalankan berfasa selama 42 bulan dengan nilai pelaburan RM15 bilion yang mampu membawa  nilai pembangunan kasar (GVD) RM100 bilion.

“Tahniah kepada KLIP yang telah berusaha selama 18 tahun untuk menjadikan Kuala Linggi sebagai pelabuhan antarabangsa, tidak lama lagi ia bakal menjadi kenyataan.

“Selain memberikan pilihan perdagangan ke Singapura KLIP membentuk satu jajaran strategik antara Singapura dan Pulau Pinang.

“Kemudahan maritim ini bukannya seperti pelabuhan perdagangan, ia merupakan sebuah pelabuhan perkhidmatan industri yang dilengkapi kemudahan tangki simpanan, limbungan kapal, di sokong industri berat limbungan fabrikasi, kawasan pengendalian kargo yang kukuh, dermaga dan gudang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah KLIP di Kuala Linggi, di sini, hari ini.

Hadir sama menyaksikan majlis bersejarah itu Tunku Besar Tampin, Yang Teramat Mulia Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus al-Qadri, Pengerusi KLIP, Tun Mohd Khalil Yaakob, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari.

Yang turut hadir, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan negeri serta Pengerusi Eksekutif KLIP, Tan Sri Dr. Noormustafa Kamal Yahya.

Ab Rauf berkata, pembangunan pelabuhan antarabangsa di tapak seluas 251 hektar itu bakal mewujudkan antara 6,000 hingga 10,000 peluang pekerjaan baharu dalam pelbagai bidang.

“Semua ini akan memberikan manfaat kepada rakyat tempatan dalam penawaran peluang pekerjaan baharu bertaraf berkemahiran dan pekerja super mahir (super skilled workers) membabitkan bidang maritim.

“Pembinaan ini sejajar dengan kedudukannya di Kuala Linggi yang sudah mempunyai institusi kemahiran seperti Akademi Laut Malaysia (ALAM) yang akan membekalkan tenaga kerja kepada industri pelabuhan ini nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1079
Kongsi :
Previous post Pelarasan tarif air: KPDN harap peniaga tak naikkan harga jualan
Next post Agong kurnia gelaran Tan Sri kepada Panglima Tentera Darat
Ubah saiz-+=