Kluster Industri Tangga Batu penyumbang terbesar kes harian tertinggi Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 16 Ogos – Kluster Industri Tangga Batu menjadi penyumbang utama kes positif baharu di Melaka pada hari ini dengan 636 kes.

Exco Kesihatan negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, jumlah itu sekali gus menyumbangkan 56.8 peratus daripada 1,120 kes hari ini.

Jelasnya, sejak kluster itu diumumkan pada 14 Ogos lalu, seramai 680 pekerja kilang pembuatan pakaian pelindung diri (PPE) itu telah disahkan positif dengan 97 peratus daripadanya adalah pekerja asing.

“Tindakan kawalan telah pun dijalankan, antaranya semua pekerja yang disahkan positif diberikan rawatan sama ada di hospital atau PKRC swasta (PKRCS).

“Semua kontak rapat juga telah diarahkan kurantin di pusat kuarantin dan kerja-kerja disinfeksi di tempat kerja juga telah dilaksanakan oleh majikan dan dipantau oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kilang berkenaan juga telah diarahkan tutup selama 14 hari, bermula 11 hingga 25 Ogos ini.

Sementara itu, beliau berkata, baki lain-lain kes dilaporkan hari ini membabitkan kluster sedia ada yang masih aktif serta lain-lain saringan dan tiada pertambahan kluster baharu.

Terdahulu, Melaka Hari Ini melaporkan Melaka merekodkan 1,120 kes baharu COVID-19 hari ini sekali gus melepasi empat angka yang tidak pernah dicapai sebelum ini.

Statistik itu dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Facebook (FB) rasminya hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

656
Kongsi :
Previous post Kes COVID-19 kategori 3, 4 dan 5 di Melaka menurun
Next post Remaja 21 tahun antara 16 korban COVID-19 di Melaka
Ubah saiz-+=