KM lancarkan wajah baharu Melaka Hari Ini

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 17 Jun – Ketua Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md Ali hari ini melancarkan wajah baharu media kerajaan negeri, Melaka Hari Ini (MHI).

Majlis pelancaran tersebut diadakan di Pejabat Ketua Menteri, di Seri Negeri, di sini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan dan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Melaka.

Berucap pada majlis pelancaran itu, Sulaiman merakamkan penghargaan kepada semua warga kerja yang terlibat dalam menjenamakan semula akhbar kerajaan negeri yang diterbitkan sejak 1982.

“MHI sudah diguna pakai sejak zaman Tun Datuk Seri (Dr) Haji Mohd Ali Mohd Rustam (menjadi ketua menteri). Kini ia dikembalikan semula. Maka, bagi saya inilah wadah kerajaan negeri untuk menyebarkan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat Melaka.

“Jadi, saya meminta semua wakil rakyat dan Pengerusi Jawatankuasa Negeri untuk beri kerjasama dengan MHI dan sentiasa berkomunikasi untuk memaklumkan aktiviti dan kemajuan terkini kawasan masing-masing,” katanya.

Hadir sama di majlis pelancaran itu, Ketua Pegawai Eksekutif MHI, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid.

Untuk rekod, MHI yang berwajah baharu sudah menerbitkan dua edisi sejak dijenamakan semula awal Jun lalu.

Edisi pertama MHI bertarikh 8 hingga 14 Jun 2020 menampilkan muka depan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri (Dr) Haji Mohd Ali Mohd Rustam, manakala edisi kedua minggu ini memaparkan edisi khas wawancara bersama Sulaiman, yang sudah melepasi angka 100 hari bergelar Ketua Menteri.

Views:

332
Kongsi :
Previous post Boleh bawa anak pergi jalan tapi kena patuhi penjagaan kesihatan – Ismail Sabri
Next post Kejayaan 100 hari hasil kerjasama semua – KM
Ubah saiz-+=