Boleh bawa anak pergi jalan tapi kena patuhi penjagaan kesihatan – Ismail Sabri

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

PUTRAJAYA 17 Jun – Tiada larangan untuk membawa kanak-kanak ke tempat awam termasuk pusat beli-belah dan restoran, namun perlu mematuhi penjagaan kesihatan sewaktu negara sedang berdepan pandemik Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada peruntukan atau hukuman dikenakan ke atas ibu bapa yang membawa kanak-kanak ke kawasan awam berkenaan, kerana ia tidak diwartakan.

“Tidak ada tegahan untuk tidak benarkan kanak-kanak pergi membeli mainan, beli-belah, dan sebagainya bersama ibu bapa mereka.

“Cuma sering kali saya nasihatkan, kalau boleh jangan bawa kanak-kanak kerana mereka golongan berisiko tinggi, dan ibu-bapa kena jaga kepentingan anak mereka walaupun dipakaikan pelitup separuh muka.

“Tidak ada hukuman kerana tidak diwartakan yang kanak-kanak tidak boleh dibawa ke restoran dan pusat beli-belah. Tapi kerana anak-anak berisiko tinggi dengan jangkitan Covid-19, kita galakkan tidak bawa anak bersama-sama,” katanya pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Tegasnya, kerajaan juga tidak menetapkan halangan untuk kanak-kanak beriadah di taman permainan dan pusat beriadah, namun perlu mematuhi jarakkan sosial selain tidak berhimpit-himpit.

Ditanya sama ada panggung wayang sudah dibenarkan beroperasi, beliau berkata, perkara itu belum diputuskan oleh Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

— BERNAMA

Views:

325
Kongsi :
Previous post Pelajar UiTM Alor Gajah serah ‘Kit Syawal’ kepada ibu tunggal
Next post KM lancarkan wajah baharu Melaka Hari Ini
Ubah saiz-+=