KM rayu rakyat Melaka tepati janji temu vaksin

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 28 Mei – Kerajaan negeri merayu rakyat Melaka tidak bersikap sambil lewa dengan mengabaikan janji temu suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang telah ditetapkan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, ia berikutan sehingga kini terdapat kira-kira 20 peratus atau kira-kira 3,934 rakyat negeri ini dikesan tidak hadir ke PPV bagi mendapatkan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Situasi itu, jelasnya, nyata membimbangkan kerana ia dikhuatiri boleh menggagalkan usaha kerajaan untuk mencapai imuniti berkelompok dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat divaksin.

“Saya merayu sangat kepada rakyat, kalau sudah daftar dan mendapat janji temu, datanglah ke PPV ditetapkan untuk mendapatkan suntikan vaksin. Kepada yang belum mendaftar vaksin, daftarlah segera.

“Dengan cara ini kita dapat membantu petugas kesihatan. Jika tidak hadir, ia bukan sahaja menyukarkan tugas mereka tetapi juga kita risau bekalan vaksin yang ada itu boleh rosak sekiranya ia kerap keluar masuk daripada tempat simpanan khas yang ditetapkan.

“Kerajaan telah mengeluarkan belanja berbilion ringgit untuk memberikan vaksin secara percuma kepada rakyat agar semua dijauhkan daripada pandemik yang berbahaya ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis simbolik memotong kek bersempena dengan Hari Wartawan Nasional yang jatuh pada tanggal 29 Mei setiap tahun.

Hadir sama, Pengerusi Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) Amir Mamat dan ahli jawatankuasa tertingginya.

Mengulas mengenai sambutan itu, Sulaiman menyifatkan peranan wartawan cukup penting dalam menjadi ‘lidah’ dalam menyalurkan segala maklumat dan usaha terkini kerajaan negeri.

“Saya amat menghargai jasa dan peranan wartawan, khususnya yang berada di Melaka. Saya berharap kerjasama erat wartawan bersama kerajaan negeri akan terus utuh memandangkan tugas pengamal media ini amat penting dalam membantu kerajaan merencanakan apa jua dasar dan kemajuan negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

323
Kongsi :
Previous post Total Lockdown: Melaka pilih kesihatan daripada ekonomi – KM
Next post Bukan kompaun, sebaliknya notis peringatan
Ubah saiz-+=