KM, Setiausaha Kerajaan Melaka dan Exco negatif COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

MELAKA 5 Okt. – Kira-kira 100 kakitangan kompleks Seri Negeri di sini, menjalani ujian calitan saringan COVID-19 selepas seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) disahkan positif jangkitan itu, Rabu lepas.

Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Hasim Hasan berkata saringan itu diadakan di Klinik Seri Negeri di sini oleh Hospital Pakar Putra Melaka, Jumaat lepas.

“Individu yang menjalani ujian calitan itu termasuk Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, diri saya, semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka dan keputusan ujian calitan bagi kesemuanya adalah negatif,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata pusat pentadbiran kerajaan negeri dan kediaman rasmi ketua menteri di Seri Bendahara, kini sudah kembali beroperasi seperti biasa hari ini, dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

Sementara itu, Tinjauan Bernama di kompleks Seri Negeri di Ayer Keroh mendapati pintu masuk utama ke bangunan berkenaan dikawal seperti biasa oleh pengawal keselamatan dan mereka melakukan pemeriksaan suhu badan terhadap kakitangan serta orang awam.

Khamis lepas, media melaporkan Kompleks Seri Negeri dan kediaman rasmi ketua menteri ditutup sementara bagi memberi laluan kepada proses sanitasi dan pencegahan awal COVID-19 di kawasan berkenaan, susulan seorang ADUN disahkan positif COVID-19.

Untuk rekod, ADUN terlibat mendakwa ujian saringan COVID-19 yang dijalankan ke atasnya di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah sejurus pulang dari Sabah pada 26 Sept lepas adalah negatif namun empat hari kemudian iaitu pada 30 Sept, pihak PKD Alor Gajah menghubunginya dan memaklumkan beliau positif COVID-19.

Sehingga kini, menurut rekod Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, negeri ini merekodkan lima kes aktif COVID-19.

— BERNAMA

Views:

333
Kongsi :
Previous post Pengusaha pelancongan di zon merah perlu bersedia rangka pakej menarik
Next post COVID 19: Dua lagi sekolah di Terengganu ditutup
Ubah saiz-+=