KM setuju nilai semula potongan bayaran sewa hotel

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 11 Nov. – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali bersetuju menilai kembali potongan pembayaran sewa bagi setiap pemilik hotel di negeri ini.

Perkara itu antara yang diputuskan dalam perbincangan semasa perjumpaan bersama Ketua Menteri membabitkan pemain industri pelancongan Melaka, semalam.

Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka Goh Hock Gin berkata, langkah itu diputuskan bagi membantu sumber ekonomi industri pelancongan yang terkesan sehingga 80 peratus akibat impak COVID-19, termasuk mempersetujui pengoperasian hotel berjalan seperti biasa.

“Pemain industri pelancongan sangat tenat sekarang ini, memang hotel boleh operasi seperti biasa tetapi jika tiada pelancong kos untuk tanggung pun tak cukup.

PENGERUSI Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka Goh Hock Gin

“Justeru, Ketua Menteri bersetuju untuk menilai kembali potongan pembayaran sewa bagi setiap pemilik hotel di negeri ini,” katanya kepada MHI.

Katanya, menerusi kunjungan itu Sulaiman akan berbincang dengan jabatan berkaitan mengenai penggunaan Cukai Warisan & Cukai Pelancongan bagi tujuan pemasaran (untuk pasca COVID-19).

“Ini termasuk mengemaskini prosedur operasi standard (SOP) di negeri ini dalam kalangan pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi penguatkuasaan yang lebih baik.

“Persatuan, Badan Promosi Pelancongan (BPP) dan agensi-agensi yang berkaitan juga perlu bekerjasama membangunkan pakej promosi dan pemasaran menjadikan Melaka sebagai destinasi pilihan utama,” katanya.

ANTARA pemain industri pelancongan yang hadir bertemu Ketua Menteri bagi membincangkan masalah yang dihadapi.

Jelasnya, di Melaka terdapat sebanyak 300 pemilik hotel yang bernaung di bawah ketiga-tiga persatuan itu.

“Hotel ini ada yang bertaraf tiga dan lima bintang, bagaimanapun kita harap kerajaan negeri dapat membantu pemain industri ini dalam memulihkan kembali pendapatan yang terjejas,” katanya.

Semalam, Persatuan Hotel Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Hotel Budget Malaysia (MyBHA) dan MATTA telah mengadakan perjumpaan bersama Sulaiman bagi membincangkan isu berkaitan sektor pelancongan Melaka.

Views:

598
Kongsi :
Previous post COVID-19: Maybank Alor Gajah ditutup
Next post Mayat warga asing ditemui terapung
Ubah saiz-+=