KM Sulaiman nafi penganjur bazar tipu

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 20 April – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menafikan khabar angin berlakunya penipuan oleh penganjur Bazar Ramadan Jalan Hang Tuah hingga menyebabkan gerai di kawasan itu tidak mendapat sambutan.

Ini berikutan hanya terdapat tiga peniaga sahaja mendaftar di kawasan terbabit daripada 100 khemah yang disediakan.

TAPAK gerai Bazar Ramadan di Jalan Hang Tuah di sini yang kosong digunakan untuk pakir kenderaan.

 

“Penganjur bukan tipu, tetapi Jalan Hang Tuah ini memang ada sejarahnya. Apabila bazar lebih besar dibuka di tempat lain seperti contoh Klebang yang mempunyai lebih ramai pengunjung, jadi peniaga-peniaga pun ingin berniaga di kawasan yang lebih besar.

“Penganjur ini (Bazar Jalan Hang Tuah) baru pertama kali anjurkan dan niatnya nak menolong peniaga. Tetapi mungkin tidak begitu mengenali ketua penjaja di kawasan berkenaan membuatkan ia tidak mendapat sambutan.

“Di sini, tiada istilah siapa tipu siapa. Saya tahu perkara sebenar dan saya juga sudah maklumkan kepada pihak berkuasa tempatan (MBMB) untuk pindahkan peniaga ini di kawasan yang lebih ramai orang,” katanya ditemui dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Projek Pembangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) di Bilik Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Seri Negeri, hari ini.

Sehubungan itu beliau meminta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memindahkan segera peniaga di bazar itu ke lokasi lain.

BAZAR Ramadan di Jalan Hang Tuah hanya sertai tiga peniaga sahaja.

Sulaiman turut meminta khemah bazar di Jalan Hang Tuah dikosongkan lebih awal bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar ditanggung penganjur terbabit.

“Kalau betul tiada peniaga, bagi saya bukalah (khemah) itu. Jangan biarkan sahaja, tak cantik dan lama-lama nanti lebih ramai orang cakap yang bukan-bukan.

“Memandangkan sewaan khemah biasanya dicaj mengikut hari, jadi pada saya lebih baik penganjur buka lebih awal daripada menanggung lebih banyak kerugian dan saya juga meminta pihak MBMB untuk membantu mana yang boleh,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

767
Kongsi :
Previous post Kilang sarung tangan bakal buka 7,000 peluang pekerjaan untuk anak Melaka
Next post Agong, Permaisuri zahir ucapan takziah kepada Tengku Permaisuri Selangor
Ubah saiz-+=