Kilang sarung tangan bakal buka 7,000 peluang pekerjaan untuk anak Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 20 April – Sebuah kilang memproses sarung tangan bakal dibangunkan di kawasan Industri Elkay, Lipat Kajang, Jasin dengan menyediakan 7,000 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, kilang itu akan dibangunkan oleh syarikat sarung tangan terkemuka negara, KenTeam Sdn Bhd di atas tanah seluas 38.45 hektar dengan nilai pelaburan lebih RM1.5 bilion.

Katanya, pembinaan kilang terbabit dijangka akan bermula pada Mei depan dan dijangka siap dalam tempoh 12 bulan.

SULAIMAN… berharap pembukaan kilang ini akan menjadi pemangkin ekonomi negeri Melaka selain turut memberi 7,000 peluang pekerjaan kepada penduduknya.

“Saya berharap pembukaan kilang ini akan menjadi pemangkin ekonomi negeri Melaka selain turut memberi 7,000 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat yang mana saya sememangnya akan menyokong pembangunan industri yang membuka banyak peluang pekerjaan seperti ini.

“Pada masa sama, pembangunan kilang ini akan merancakkan lagi limpahan ekonomi di kawasan Merlimau selepas ini yang mana kita berharap pembangunan ini akan dapat dijalankan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Projek Pembangunan di antara Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dengan KenTeam Sdn Bhd di Bilik Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri, Seri Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi PKNM Datuk Roslan Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif PKNM Datuk Azmi Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif KenTeam Sdn Bhd Datuk Seri Justin Lim.

Sementara itu Justin yang ditemui dalam majlis sama berkata, pembangunan itu menjadi titik-tolak kepada kerjasama erat pihaknya dengan kerajaan negeri Melaka selepas mengambil alih Kelab Bola Sepak Melaka United (MUFC) sebelum ini.

Beliau berkata, pemilihan tanah di Melaka sebagai lokasi pelaburan baharu adalah disebabkan kedudukannya yang strategik berhampiran lebuh raya dan mempunyai fasiliti yang lengkap.

“Kami sangat gembira dapat datang ke Melaka dan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan di sini. Apapun, kami akan terus komited untuk membawa lebih banyak pelaburan kepada Melaka di masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2643
Kongsi :
Previous post 95 peratus ‘frontliner’selesai terima dos pertama vaksin
Next post KM Sulaiman nafi penganjur bazar tipu
Ubah saiz-+=