Kongsi ilmu dengan orang Felda

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

JASIN 7 April – Bagi memupuk semangat khidmat sosial bersama komuniti, Briged Sukarelawan Kolej Komuniti (BRISK) Melaka menganjurkan Program Kongsi Rezeki di Felda Tun Ghaffar, Bukit Senggeh, baru-baru ini.

Pengerusinya, Mohamad Nazri Ismail berkata, program itu bertujuan memupuk semangat bermasyarakat dalam kalangan warga Kolej Komuniti negeri ini selain menyemai nilai murni berkongsi rezeki dan kemahiran bersama penduduk setempat.

“Sebanyak lima aktiviti khidmat masyarakat dilaksanakan bersama komuniti seperti pemeriksaan kabel, soket elektrik dan penyelenggaraan pendingin hawa di masjid serta balai raya.

“Kami juga menjalankan penyelenggaraan landskap, lukisan mural, perkhidmatan servis motosikal dan gunting rambut untuk warga emas serta kanak-kanak.

“Kolej Komuniti Negeri Melaka juga komited mempromosikan program pembelajaran sepanjang hayat yang ditawarkan untuk memperkasa kemahiran komuniti,” katanya.

AKTIVITI gunting rambut oleh pelajar kolej komuniti turut diadakan.

Katanya sembilan kursus jangka pendek seperti Kursus Asas Sembelihan Arnab, Kursus Asas Fotografi, Kursus Asas Keusahawanan dan Demonstrasi Penjagaan Medicure dan Pedicure serta refleksologi turut juga dilaksanakan sepanjang program tersebut.

“Kemahiran dan pendedahan diberikan melalui program ini diharap dapat menjadi nilai tambah selain digunakan oleh peserta untuk memulakan perniagaan sekali gus menjana pendapatan,” katanya.

Sementara itu, peserta program Nur Maizurah Noor Hamidi, 20, menyambut baik usaha dijalankan kolej komuniti dan berharap ia diteruskan pada masa akan datang.

PERKHIDMATAN servis motosikal oleh pelajar kolej komuniti.

“Program ini meningkatkan semangat kerjasama antara Kolej Komuniti dan masyarakat di sini, paling bagus kerana kami dapat mempelajari ilmu baharu menerusi akitiviti yang dijalankan,” katanya.

Program itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Fairul Nizam roslan yang dihadiri kira-kira 400 pengunjung.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1397
Kongsi :
Previous post Jalan gelap kini terang
Next post Tapak sampah DUN Serkam akan pindah ke tempat baharu
Ubah saiz-+=