Kongsi raya, perkukuh perpaduan kaum

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

KOTA LAKSAMANA 19 Februari – Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Melaka di Jonker Walk, pada 22 Februari ini bukan sekadar untuk meraikan masyarakat Tionghua sebaliknya menjadi medan bagi mengukuhkan lagi perpaduan kaum.

Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, berikutan itu semua rakyat Melaka tanpa mengira kaum dijemput untuk bersama-sama memeriahkan sambutan itu yang dijadualkan bermula jam 8 malam.

“Kita dapat memupuk semangat perpaduan dan memperkukuh nilai toleransi apabila pelbagai kaum berkumpul bersama bagi berkongsi kegembiraan. Semua ini tidak asing bagi kita yang saban tahun bersama-sama meraikan sambutan perayaan kaum lain secara bersama.

“Keharmonian ini bukanlah diukur mengikut perbezaan agama dan kepercayaan, malah ia dapat dirasai menerusi satu semangat kebersamaan yang jitu dalam setiap masyarakat di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Tahun Baharu Cina MACMA Melaka di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pay Teck, Kampung Tiga, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem; Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Prof. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun dan Pengerusi MACMA Melaka, Nur Caren Chung.

Majlis yang dihadiri kira-kira 300 mualaf itu turut diserikan dengan tarian singa, persembahan kebudayaan dan acara menggaul Yee Sang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

371
Kongsi :
Previous post ‘Tak sabar nak masuk jawi’
Next post Mualaf bukan penghalang sambut Tahun Baru Cina
Ubah saiz-+=