Mualaf bukan penghalang sambut Tahun Baru Cina

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

KOTA LAKSAMANA 19 Februari – Bergelar seorang Muslim bukan penghalang buat mualaf untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina bersama ahli keluarga yang berbeza agama.

Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Prof. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin, dalam tazkirah ringkasnya berkata Tahun Baru Cina adalah perayaan budaya disambut oleh masyarakat Tionghua seluruh dunia.

Jelas Dr. Taufiq Yap, ia sama seperti perayaan tahun baru masihi dan menyambutnya hanyalah satu simbolik kepada pertukaran kalendar tahunan.

“Begitu juga dengan masyarakat Cina Muslim, kita turut meraikan kedatangan Tahun Baru Cina bersama keluarga seperti acara makan besar dan menziarahi sanak-saudara terdekat walaupun berlainan agama.

“Sejarah sambutan Tahun Baru Cina berdasarkan kalendar Qamari Cina sejak ribuan tahun dahulu, adalah mengikut kitaran 12 tahun, merujuk kepada 12 jenis haiwan zodiak cina. Zodiak ini dikaitkan dengan kekuatan, keberanian bagi mengusir unsur kejahatan, menerusi personaliti dan tuah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tahun Baharu Cina MACMA di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pay Teck, di sini, malam tadi.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem dan Pengerusi MACMA Melaka, Nur Caren Chung serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Dr. Taufiq Yap berkata mualaf yang baharu atau lama perlu mengamalkan lima prinsip iaitu sikap toleransi, hormat menghormati, memahami, menerima seadanya dan menghargai demi kelangsungan hidup.

“Islam itu agama yang mudah, jangan kita diskriminasi kaum dengan agama,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

711
Kongsi :
Previous post Kongsi raya, perkukuh perpaduan kaum
Next post Sasar sediakan 350 petak cas kenderaan elektrik
Ubah saiz-+=