Kononnya Abah Sayang Melaka, tapi…

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

RIM 16 Nov. – “Kalau betul Abah sayang Melaka kenapa perlu batalkan projek HSR sehingga kita kena bayar RM320 juta (kepada Singapura) apabila terbatal projek ini?” kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Sulaiman melahirkan rasa kesal kerana projek keretapi berkelajuan tinggi (HSR) dari Kuala Lumpur ke Singapura yang bakal memberi limpahan ekonomi kepada rakyat dan negeri ini dibatalkan oleh mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika tampuk pimpinannya sebelum ini.

“Begitu juga kalau sayangkan Melaka, sayangkan rakyat Melaka, patut teruskan projek ini ke Singapura supaya melihat limpahan ekonomi di Melaka memandangkan ia (projek HSR) ada connectivity dari stesen di Melaka, dihubungkan pula ke Melaka sentral.

“Di Melaka Sentral nanti kita boleh buat lagi jalan penghubung ke koridor ekonomi pesisir pantai kita iaitu Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ).

“Jadi kalau kata abah sayangkan Melaka, saya tak nampak,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui menyantuni jentera BN, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau meluahkan rasa kesal di atas pembatalan itu yang akan memberi kesan dari sudut pelancongan.

Ia berikutan pelancong Singapura merupakan antara kadar kemasukan pelancong tertinggi ke Melaka sebelum ini.

“Apabila projek landasan kereta api laju ini sepertimana yang dicadang oleh Datuk Seri Najib Razak dulu, saya melihat di Melaka boleh kembali menjadi negeri yang hebat, sebab ramai pelancong dari Singapura akan datang ke Melaka.

“Apabila pelancong-pelancong nanti akan datang daripada Singapura ke Melaka (menaiki HSR), ia akan mengurangkan kesesakan terutamanya sistem pengangkutan di negeri Melaka ini.

“Jadi di jajaran yang ada di Melaka ini, kita akan adakan pembangunan kiri dan kanan. Banyak peluang-peluang perniagaan, banyak pembangunan yang boleh kita bina nanti,” ujarnya.

Tambahnya lagi, negeri ini akan turut menerima manfaat daripada peningkatan pertukaran mata wang asing.

“Pulangan ekonomi itu tinggi dengan kehadiran pelancong dari Singapura datang ke Melaka dengan nilai dolar Singapura.

“Kenapa nak menunjukkan nilai, bukan saya nak kata Ringgit Malaysia itu rendah, tidak. Tetapi dolar Singapura boleh berbelanja ke sini dengan nilainya lebih tinggi, terutama dalam kaedah pertukaran wang asing,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1639
Kongsi :
Previous post PRN Melaka: 86 peratus pengundi awal selesai tunai kewajipan setakat jam 4 petang
Next post Khianat cabut bahan kempen, lelaki ditahan
Ubah saiz-+=