Konvoi gelombang biru iringi calon BN, Shahril Hamdan

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

ALOR GAJAH 5 November – Kira-kira 100 motosikal bersama 20 kenderaan konvoi mengiringi Calon Barisan Nasional (BN) Alor Gajah, Shahril Hamdan bagi menghadiri hari penamaan calon di Pusat penamaan calon (PPC) Dewan Taming Sari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu, di sini sebentar tadi.

Konvoi ‘gelombang biru’ dipenuhi dengan kibaran bendera BN difahamkan bermula dari Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (Dun) Rembia sebelum tiba di hadapan pintu masuk universiti itu kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Sejurus tiba, Shahril yang mengenakan pakaian baju melayu biru tua lengkap bersamping sempat beramah mesra bersama penyokongnya di luar universiti itu sementara menantikan pintu utama dibuka tepat jam 9 pagi tadi.

Suasana mendung pagi itu kemudiannya meriah apabila gema gendang dan sorakan mula berkumandang kira-kira 8.43 pagi tadi apabila sekumpulan Kelab Mahasiswa UMNO Malaysia (UMNOSiswa) tiba di kawasan terbabit.

WhatsApp Image 2022-11-05 at 10.00.52 AM
UMNOSiswa turut memberikan sokongan kepada calon BN

Terdahulu, kelihatan penyokong bersama calon dari empat penjuru mula memenuhi di bahu jalan hadapan pintu masuk UiTM seawal 8.20 pagi tadi.

Ia dimulakan dengan ketibaan calon bersama penyokong dari Perikatan Nasional bersama Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, 65 sekitar jam 8.20 pagi dengan mengenakan baju melayu biru gelap dan samping

Selang 10 minit selepas itu ia diikuti penyokong Pakatan Harapan (PH) bersama calonnya, Adly Zahari,51, berpakaian baju melayu putih dan samping.

Manakala, bagi parti Gerakan Tanah Air (GTA) turut tidak ketinggalan membawa penyokongnya yang setia seawal pagi menantikan calonnya, Muhammad Nazriq Abdul Rahman,36, yang tiba berpakaian kemeja putih berseluar coklat pada jam 8.50 pagi tadi.

Tepat jam 9 pagi, tiga kenderaan mula melepasi pagar utama universiti itu membawa calon pertama iaitu Shahril Hamdan menuju ke PPC terletak kira-kira 500 meter.

Ia disusuli tiga kenderaan lain yang membawa calon GTA, disusuli tiga kenderaan membawa calon PH dan PN.

Setakat jam 7 pagi tadi, anggota keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) mula mengawal ketat lokasi terbabit bagi memastikan proses itu berjalan lancar.

Dalam PRU15 kali ini, sebanyak empat penjuru akan merebut kerusi parlimen terbabit di mana Shahril akan berdepan tiga parti lain termasuk dua muka ‘heavy weight’ iaitu Bekas Ketua Menteri Melaka dan Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) yang juga Penyandang kerusi Parlimen itu.

SPR menetapkan tarikh mengundi PRU15 jatuh pada 19 November ini manakala penamaan calon pada hari ini manakala undi awal 16 November ini

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1907
Kongsi :
Previous post PRU15: Empat calon Parlimen Masjid Tanah serah borang penamaan
Next post Meriah macam di stadium
Ubah saiz-+=