Koperasi Politeknik Merlimau cemerlang di HKN’23

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 3 Ogos – Koperasi Politeknik Merlimau Melaka Berhad, menggondol Anugerah Koperasi Institut Pengajian Tinggi Terbaik 2023 pada Hari Koperasi Negara 2023 (HKN’23) Peringkat Kebangsaan, berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.

Atas kejayaan itu Koperasi Politeknik Merlimau Melaka Berhad, membawa pulang wang tunai RM15,000 beserta Trofi dan Sijil Penghargaan.

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Melaka menerusi satu kenyataan memaklumkan, kejayaan koperasi itu dibuktikan menerusi peningkatan kumpulan wang anggotanya kini berjumlah RM900,000 dalam tempoh 20 tahun beroperasi.

“Keanggotaan koperasi ini adalah dalam kalangan pelajar dan warga kerja Politeknik Merlimau yang agresif, dinamik serta positif.

“Perniagaan koperasi yang berfalsafahkan memenuhi keperluan bersama, telah berjaya memaksimumkan pendapatannya melalui urusniaga dengan warga koperasi dan warga pendidik disekitarnya,” katanya.

Sambutan itu dianjurkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Hadir sama pada sambutan itu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Suriani Ahmad, Pengerusi Eksekutif SKM Rusli Jaafar.

Turut hadir Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin diiringi Pengarah SKM Negeri Melaka, Mohd Firdaus Shaari.

Empat wakil Melaka iaitu Koperasi Baba Nyonya Melaka Berhad, Koperasi Keluarga Hajah Che Me Melaka Berhad, Koperasi Simpang Bekoh Jasin Melaka Berhad serta Koperasi Pekerja – Pekerja CTRM Melaka Berhad yang turut menyertai karnival jualan bersempena HKN’23.

Selain itu HKN’23 berjaya mencatatkan prospek perniagaan sebanyak RM46.9 juta melalui 44 sesi padanan perniagaan dan menarik minat seramai 10,069 pengunjung.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1601
Kongsi :
Previous post Ajal elak bangkai anjing
Next post Mujur suami carum SKSSR
Ubah saiz-+=