Ajal elak bangkai anjing

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

PENGKALAN BATU 3 Ogos – Seorang operator kilang maut selepas dirempuh sebuah kereta Perodua Myvi di Jalan Tun Fatimah, berhampiran sebuah pusat servis kenderaan, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 pagi itu, mangsa, Nur Eliya Ezzatul Rabu, 24, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Ego Avantiz sedang dalam perjalanan ke tempat kerja dari arah Bukit Rambai menghala ke Batu Berendam.

Katanya, ketika melalui jalan berkenaan, mangsa cuba mengelak bangkai seekor anjing yang berada di tengah jalan, namun gagal mengawal kenderaan dan terjatuh ke laluan bertentangan.

Ketika itu, datang sebuah kereta yang dipandu wanita berusia 31 tahun tidak sempat mengelak, lalu melanggar mangsa.

“Akibat rempuhan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka.

“Pol 61 telah dikeluarkan bagi mengetahui punca kejadian dan waris telah dikesan dan diminta hadir untuk pengecaman mayat,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan pihaknya akan cuba mendapatkan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3897
Kongsi :
Previous post Hari Bertemu Rakyat 2.0 September ini
Next post Koperasi Politeknik Merlimau cemerlang di HKN’23
Ubah saiz-+=