Kos pengambilan pekerja domestik Indonesia diumumkan selepas MoU – Awang

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

PENDANG, 27 Mac – Kos baharu pengambilan pekerja domestik Indonesia hanya akan diumumkan kerajaan selepas kedua-dua negara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada April ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan akan berlaku kenaikan kos, namun belum dapat menjangkakan jumlah peratusan kenaikan kos berkenaan.

“Tidak semestinya naik dan tidak semestinya turun, kita akan lihat dan semak dari semasa ke semasa. Struktur kos RM7,800 yang dimaklumkan sebelum ini adalah kos lama berdasarkan Kumpulan Kerja Bersama Kesembilan pada September 2013 dalam MoU yang telah tamat pada 2016.

“MoU pekerja domestik Indonesia yang baharu dijadualkan akan ditandatangani oleh kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia di Jakarta pada awal April ini. Jadi struktur kos pengambilan domestik Indonesia akan diumumkan selepas MoU ini ditandatangani,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di tapak projek Hospital Pendang, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kerja Raya Kedah Ibrahim Ahmad dan Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo.

Sementara itu, Awang yang juga Ahli Parlimen Pendang berkata Hospital Pendang yang terletak di Kampung Banggol Pauh, di sini sudah disiapkan kira-kira 95 peratus.

Katanya, hospital yang mula dibina pada 2018 itu akan memberi kemudahan kepada lebih 100,000 penduduk di daerah ini dan kawasan sekitarnya bagi mendapatkan perkhidmatan perubatan lebih baik dan selesa.

“Pandemik yang berlaku memberi kesan kepada sektor pembinaan, namun saya percaya ia dapat disiapkan dalam beberapa bulan lagi dan akan mula beroperasi selepas peralatan dan mesin perubatan dari luar negara dibawa masuk,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

869
Kongsi :
Previous post Pemain industri pakej haji harap kuota jemaah haji Malaysia ditingkatkan
Next post Pelajar IPT kutip 10kg bekas makanan di Pantai Klebang
Ubah saiz-+=