KPDNHEP Melaka ‘tanya khabar’ parkir valet tular

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BANDA HILIR 14 Oktober – Rakaman video tular mendakwa parkir valet di sebuah pusat beli belah, di sini, mengenakan caj tidak masuk akal mendapat perhatian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, susulan aduan daripada video tular itu, pihaknya telah melakukan pemeriksaan dan siasatan ke atas premis tersebut, semalam.

Menurut beliau, hasil pertemuan dengan pihak pengurusan, dimaklumkan bahawa parkir valet itu diuruskan oleh pihak ketiga dengan bayaran RM15 untuk sekali masuk.

Bagaimanapun, pihak tersebut telah mengenakan caj tambahan RM7 berikutan lokasi parkir valet itu terletak di ruang bawah tanah parkir pusat beli belah itu.

“Hasil maklum balas yang diberikan pihak pengurusan parkir bersetuju untuk mengembalikan lebihan RM7 kepada pengadu.

“Pada masa sama, pihak pengurusan akan menambah baik sistem parkir valet yang mana tiada lagi caj parkir biasa dikenakan sekiranya pelanggan memilih untuk meletakkan kenderaan di ruang parkir valet pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Norena berkata, pihaknya juga telah memberi amaran kepada premis itu agar tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.

Katanya lagi, pengguna juga mempunyai hak untuk memilih sama ada mahu menggunakan perkhidmatan parkir valet atau tidak di mana-mana premis di negeri ini.

Beberapa hari lalu, tular sebuah rakaman video berdurasi tiga minit 28 saat oleh seorang wanita yang tidak berpuas hati dengan pengurusan parkir valet di sebuah pusat beli belah di Banda Hilir.

Wanita itu mendakwa terpaksa membayar RM22 iaitu RM15 dan RM7 bagi kemasukan selama satu jam setengah di parkir pusat beli belah itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5023
Kongsi :
Previous post Muhammad Azz Zayyan ‘abang bomba’ paling muda
Next post Lembaga Peperiksaan: PBS nilai pelajar secara holistik
Ubah saiz-+=