KPDNHEP rampas 460 kg minyak masak botol, satu tan gula

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KRUBONG 10 Ogos – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka merampas 460 kilogram (kg) minyak dalam masak botol dan lebih 1,176 kg gula pasir kasar hasil serbuan di sebuah stor yang tidak dilesenkan, di Ayer Keroh, semalam.

Serbuan kira-kira jam 12.30 tengah hari itu dijalankan penguat kuasa KPDNHEP Melaka hasil maklumat pengikut laman sosial rasmi Facebook KPDNHEP Melaka.

Pengarah KPDNHEP Melaka Norena Jaafar berkata, sejurus menerima maklumat pihaknya bersama pengadu kemudian melakukan intipan selama beberapa jam sebelum diserbuan ke premis itu dilakukan.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati premis berkenaan mempunyai lesen sah dan menjual minyak masa peket mengikut peraturan ditetapkan.

“Bagaimanapun pemeriksaan lanjut dijalankan di stor simpanan menemukan minyak masak botol pelbagai berat sebanyak 460 kilogram dan gula pasir kasar lebih satu tan.

“Semua barangan kawalan yang dirampas daripada stor berkenaan dianggarkan bernilai RM7,000,” katanya pada sidang media di Stor Eksbit KPDNHEP, di Krubong, hari ini.

Menurutnya, ketika dirakam keterangan pemilik premis iaitu lelaki berusia 60-an gagal memberikan sebab munasabah mengenai tindakannya menyimpan bekalan barangan kawalan itu tanpa mempunyi permit yang sah.

“Ini kesalahan pertama premis terbabit, namun kita syak tindakannya menyimpan bekalan dalam kuantiti begini berkemungkinan cuba mengambil kesempatan.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menyimpan apa-apa barang yang dikawal selain daripada premis yang dilesenkan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau tiga tahun penjara,” katanya.

Sementara itu, Norena memberi amaran tegas KPDNHEP tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang didapati bertindak menyorok bekalan barangan kawalan dengan niat untuk mengambil keuntungan.

“Contohnya minyak masak peket, di Melaka bekalan minyak ini mencukupi dan tiada alasan berlakunya kekurangan bekalan malah pihak ‘repackers’ juga sudah dimaklumkan minyak masak peket dari Melaka tidak dibenarkan dibawa keluar melepasi sempadan negeri ini.

“Masalah berlaku kekurangan apabila ada pihak yang cuba menyimpan. Malah kebanyakkan peruncit ini akan memberi alasan sama iaitu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu perniagaan mereka merosot apabila dikesan melakukan kesalahan,” katanya.

Views:

1971
Kongsi :
Previous post Malaysia-Indonesia perkukuh hubungan ketenteraan
Next post Rumah Untuk Orang Kampung, bantu golongan kurang mampu, asnaf
Ubah saiz-+=