Malaysia-Indonesia perkukuh hubungan ketenteraan

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

SUNGAI UDANG 10 Ogos – Eksesais LINUD MALINDO 2022 yang diadakan pada 1 hingga 8 Ogos lalu dilihat akan terus memperkukuh hubungan profesional dan ketenteraan di antara Malaysia dan Indonesia.

Panglima 10 Briged (PARA), Brigedier Jeneral Khairul Azmizal Ahmad Natal berkata, eksesais berkenaan merupakan salah satu daripada siri latihan bilateral di antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan Tentara Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI AD).

Jelasnya, ia merupakan antara siri latihan yang dirancang dan dilaksanakan secara penggiliran pada setiap tahun yang mana pada tahun ini Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (17 RAMD) (PARA) dan Yonif Para Rider 432 telah diberikan kepercayaan sepenuhnya untuk mengikuti eksesais itu.

“Antara objektif pelaksanaan eks ini adalah untuk kedua-dua pihak bertukar-tukar pengalaman, kebolehan dan kepakaran, meningkatkan lagi hubungan profesional dan ketenteraan di antara Malaysia dan Indonesia serta mengukuhkan kerjasama dua pihak terutamanya dalam pelaksanaan operasi udara bersama.

“Saya yakin bahawa setiap objektif yang disasarkan telah berjaya dicapai dengan baik kerana semangat setiakawan dan kerjasama yang dipamerkan kedua-dua pihak.

“Saya secara peribadi dan juga mewakili pucuk pimpinan TDM berharap agar pelaksanaan Eks LINUD MALINDO ini terus dilaksanakan bagi kebaikan kedua-dua buah negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Eksesais LINUD MALINDO 2022 di PARAWOOD, 8 Rejimen Renjer Diraja (RRD) (PARA), Kem Terendak, di sini, 8 Ogos lalu.

Hadir sama, Panglima Divisi Infanteri 3 Kostrad, Mayor Jenderal TNI Dwi Darmadi.

KHAIRUL Azmizal menerima cenderahati daripada Panglima Divisi Infanteri 3 Kostrad, Mayor Jenderal TNI Dwi Darmadi.

Untuk rekod, antara pengisian eksesais itu ialah memfokuskan kepada Latihan Silang (Cross Training Exercise) merangkumi Para Ground Training (PGT) dan Aturgerak Rapid Deployment Force (RDF) secara Operasi Lintas Udara, perlaksanaan RAID dalam misi Menawan Titik Penting (Critical Point) dan seterusnya penarikan keluar (Extraction) bagi melaksanakan operasi seterusnya.

Eksesais itu diadakan meliputi Kem Terendak, Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) dan kawasan am Pasir Putih, Kelantan.

Pada majlis penutup, Khairul Azmizal telah menyempurnakan upacara pemakaian sayap penerjunan kepada semua pegawai dan anggota TNI AD yang terlibat dalam eksesais berkenaan.

Views:

2690
Kongsi :
Previous post Jom kibar Jalur Gemilang
Next post KPDNHEP rampas 460 kg minyak masak botol, satu tan gula
Ubah saiz-+=