Sorting by

×

KPKT akan batalkan tender kontraktor gagal siapkan projek PR1MA

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

GADEK 26 Jan – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak akan teragak-agak membatalkan tender kontraktor gagal menyiapkan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) mengikut tempoh ditetapkan.

Langkah tegas itu diambil susulan banyak rungutan daripada pembeli yang mendakwa masih belum dapat menduduki kediaman itu meskipun tempoh projek masing-masing sudah berakhir.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, setakat ini sebanyak 22 projek perumahan PR1MA dikenal pasti terbengkalai di seluruh negara.

“PR1MA akan bayar pendahuluan LAD (tuntutan ganti rugi) bagi mereka (pembeli) terkesan dan mengambil langkah proaktif dengan ‘terminate’ bagi menggantikan dengan ‘rescue contractor’ (kontraktor penyelamat).

“Ada kalangan mereka yang telah dibatalkan dan ada juga kita telah melantik kontraktor penyelamat,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci Residensi PR1MA Pulau Sebang di Dewan Serbaguna, Residensi PR1MA Pulau Sebang, di sini, hari ini.

REEZAL pada sidang media sempena Majlis Penyerahan Kunci Residensi PR1MA Pulau Sebang di Dewan Serbaguna, Residensi PR1MA Pulau Sebang, Alor Gajah. Foto Iqmal Haqim Rosman

Reezal berkata, PR1MA disarankan supaya memilih kontraktor yang berkredibiliti bagi mengelakkan sebarang isu berbangkit pada masa akan datang.

“Saya minta kalau boleh kontraktor itu dilantik dalam kalangan orang tempatan dan sebuah syarikat yang bekredibiliti. Pertama, orang tempatan ini supaya kalau ada apa-apa berlaku mereka (kontraktor) tidak lari dan kita boleh cari.

“Kedua, kalau ada diperlukan sumber bahan mentah, kontraktor ini lebih tahu sebab mereka tempatan dan ketiga dari segi permohonan kerajaan negeri lebih mudah.

“Jadi, proses pelantikan dan pemilihan kontraktor perlu melalui proses yang begitu teliti supaya tiada kegagalan lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1400
Kongsi :
Previous post Tun M semakin pulih, dipindah ke wad biasa – Marina
Next post 4,000 pembeli rumah LPPSA dapat moratorium enam bulan – Reezal
Ubah saiz-+=