KPLB mohon percepat pelaksanaan JENDELA

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

BANGI, 15 Julai – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mahu pelaksanaan inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) di perkampungan Orang Asli, sekolah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan perkampungan di pedalaman dipercepatkan.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata perkara tersebut telah dibangkitkan dalam satu pertemuan antara KPLB, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) pada 8 Julai lepas.

Ketika ini, katanya terdapat akses digital di perkampungan Orang Asli namun paras ketersambungan internet masih pada tahap rendah.

“Saya minta kalau boleh tolong percepatkan, tidak kira kaedah apa pun boleh kerana yang penting sekolah Kemas, MRSM, di luar bandar boleh dapat liputan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Murid Cemerlang Orang Asli (MAMCOA) 2021 di sini hari ini.

Mengenai cabaran pelaksanaan JENDELA di luar bandar, Mahdzir berkata ia turut melibatkan kerajaan negeri sebagai pihak berkepentingan utama kerana melibatkan kawasan yang akan digunakan, selain pihak berkuasa tempatan (PBT).

“KPLB akan bekerjasama dengan MCMC dan kerajaan negeri serta memantau kelancaran JENDELA supaya boleh membantu masyarakat luar bandar terutamanya,” katanya.

JENDELA dirangka bagi memberi liputan meluas dan pengalaman kualiti jalur lebar lebih baik untuk rakyat sebagai langkah siap siaga negara beralih kepada teknologi 5G, yang dilaksanakan secara berperingkat dengan Fasa 1 bermula dari 2020 hingga 2022 dan Fasa 2 dari 2022 hingga 2025.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

999
Kongsi :
Previous post Negara komited lahirkan pekerja berkemahiran tinggi – MITI
Next post Warga pendidikan galas tugas penuh amanah
Ubah saiz-+=