Sorting by

×

KPPK terus pastikan kepentingan minyak sawit terpelihara, bantu pekebun kecil

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan terus bekerja keras untuk memastikan kepentingan jangka panjang industri minyak sawit terpelihara dan seterusnya membantu pekebun kecil kelapa sawit dan pihak berkepentingan lain.

Menteri, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata usaha KPPK akan terus dipergiat walaupun ketika ini terdapat sekatan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit Malaysia.

Beliau berkata kementerian akan terus berusaha memperluas pasaran minyak sawit Malaysia ke pasaran luar negara khususnya di negara Asia Barat seperti Turki dan Arab Saudi.

“Ini memandangkan terdapat peningkatan eksport minyak sawit Malaysia ke Turki dengan jumlah 703,588 tan pada 2021 dan komitmen Arab Saudi untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia kepada 500,000 tan dengan nilai dianggarkan mencecah RM1.5 bilion tahun ini,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani dengan beberapa syarikat antaranya Savola Group, yang merupakan pengimport dan pengedar minyak makan terbesar di Arab Saudi, semasa lawatannya dan delegasi KPPK ke Arab Saudi baru-baru ini.

Zuraida berkata KPPK turut menjalinkan kerjasama dalam tiga bidang termasuk pembinaan terminal tangki penyimpanan di Jeddah, menjadikan Arab Saudi sebagai hab eksport semula minyak sawit Malaysia; dan kempen bersama bagi mempromosikan kebaikan minyak sawit Malaysia kepada negara berkenaan dan dunia.

“Saya yakin industri sawit negara akan terus berkembang maju dengan usaha berterusan kementerian ini.

Beliau turut menggesa seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dengan KPPK dalam usaha menangani propaganda antiminyak sawit oleh negara-negara barat yang jelas bertujuan menjatuhkan industri minyak sawit negara.

“Kita perlu memastikan industri sawit negara terus menjadi antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara,” katanya.

Selain itu, beliau berkata buat kali pertama dalam sejarah industri sawit negara, harga minyak sawit mentah (MSM) mencecah harga tertinggi sepanjang masa RM5,750 satu tan selama dua hari berturut-turut pada 3 dan 4 Feb, 2022.

Ini pastinya memberi khabar gembira dan keuntungan kepada hampir 400,000 pekebun kecil di seluruh negara, katanya.

“Peningkatan ini adalah bukti komitmen KPPK melalui agensi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) bersama-sama Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) dalam membantu rakyat menerusi pelbagai inisiatif dan dasar kerajaan,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1789
Kongsi :
Previous post Kadar kemasukan ke hospital akibat Omicron lebih rendah berbanding Delta: Kajian
Next post Beri kelonggaran Pas Johor untuk pilih PN atau MN
Ubah saiz-+=