KPT sedia bantu penuntut IPT terjejas banjir

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

DURIAN TUNGGAL 26 Januari – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyalurkan bantuan kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang dikenal pasti terkesan akibat bencana banjir.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohamad Yusof Apdal berkata, bantuan yang akan dihulurkan itu adalah berdasarkan kepada keperluan semasa penuntut terbabit, sekali gus meringankan beban mereka.

“Kita akan lihat semula perkara ini kerana kebiasaannya KPT mempunyai sukarelawan yang ditugaskan untuk membantu penuntut terjejas akibat bencana termasuk banjir.

“Saya percaya dan insya-Allah kami akan lihat masalah ini. Kami akan tengok permasalahan mereka dan punca menyebabkan banjir. Jika perlu bantuan seperti penempatan atau sebagainya kami akan mudahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Duta TVET Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM) di Dewan Canselor UTeM dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi, Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin dan Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Datuk Seri Dr. Hasim Hasan.

Sementara itu Dr. Massila berkata sukarelawan UTeM iaitu TUAH-VT diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan sedia untuk digerakkan ke lokasi terjejas bagi melaksanakan misi banjir.

“Kami ada 300 sukarelawan dan daripada jumlah itu 200 adalah kakitangan UTeM. Jika sudah mendapat pelepasan daripada pihak berkuasa berkenaan dan KPT sendiri kami sudah bersedia untuk membantu misi banjir di negeri terjejas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1065
Kongsi :
Previous post TVET bukan pilihan kedua
Next post Duta TVET santuni tiga DUN promosi bidang vokasional
Ubah saiz-+=