TVET bukan pilihan kedua

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

DURIAN TUNGGAL 26 Januari – Bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bukan lagi pilihan kedua berikutan kemahiran dimiliki graduan dalam bidang itu amat diperlukan untuk menyokong kemajuan sektor industri di negara ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, TVET adalah bidang yang diberikan keutamaan oleh negara maju dan sebagai contoh di Jerman hampir 70 peratus rakyatnya memilih aliran vokasional.

Sulaiman berkata trend sama juga dapat dilihat di negara yang maju dalam industri pembuatan kenderaan dan peralatan teknikal yang amat memerlukan graduan TVET berlandaskan aliran vokasional.

“Kemahiran dan pemikiran graduan TVET di negara ini jika tidak digilap atau diasuh, akhirnya mereka akan tercicir, sedangkan graduan terbabit memiliki bakat dalam bidang masing-masing.

“Kini Malaysia sudah mula menampakkan peluang pasaran terutama dalam bidang kemahiran tinggi melibatkan teknologi dan vokasional, sekali gus memudahkan pemain industri berkaitan mencari pekerja melibatkan tenaga kerja berkemahiran,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Duta TVET Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM) di Dewan Canselor UTeM, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohamad Yusof Apdal, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi, Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin dan Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Datuk Seri Dr. Hasim Hasan.

Terdahulu pada majlis itu lapan kumpulan Duta UTeM dalam kalangan kakitangan akademik dan teknikal universiti itu menerima sijil watikah pelantikan untuk menjalankan program pendedahan kepada komuniti setempat membabitkan tiga Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Pantai Kundor, Tanjung Bidara dan Bukit Katil sebagai projek rintis di Negeri Melaka.

“Program sebegini mampu mengubah persepsi dan memberikan masyarakat gambaran positif mengenai TVET,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1730
Kongsi :
Previous post PPR Tangga Batu dijangka siap tahun ini
Next post KPT sedia bantu penuntut IPT terjejas banjir
Ubah saiz-+=