Kucing tak dapat, duit simpanan pun lebur lebih RM37,000

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

ALOR GAJAH 28 Ogos – Hasrat seorang guru wanita untuk memiliki kucing baka Munchkin tidak kesampaian apabila diperdaya penjual atas talian dan kerugian lebih RM37,000.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata wanita berusia 39 tahun itu mendakwa melihat iklan di laman Facebook yang menawarkan jualan kucing baka berkenaan bernilai RM600 kira-kira jam 3 petang 23 Ogos lalu.

Katanya, pengadu yang tertarik dengan iklan berkenaan bersetuju dengan urusan jual beli kucing yang didakwa dari Pontian, Johor dan diminta membayar deposit sebanyak RM300.

“Bagaimanapun, selepas membuat bayaran suspek memaklumkan kepada pengadu kucing berkenaan dari Jakarta, Indonesia dan pengadu diarah untuk membuat pembayaran berikutanya ke dalam akaun bank yang diberikan yang kononnya bagi tujuan lesen Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara), kos penerbangan antara negara dan lesen import kucing dari luar negara ke dalam negara.

“Dalam tempoh dua hari iaitu bermula 24 Ogos hingga kelmarin, pengadu tekah membuat pindahan wang miliknya secara berperingkat yang keseluruhannya berjumlah RM37,750,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

arshad abu2
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu

Mengulas lanjut, beliau berkata, menyedari dirinya ditipu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Alor Gajah semalam bagi siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak terpedaya dengan tawaran mana-mana penjualan barang secara atas talian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes penipuan atas talian diminta menelefon panggilan Pusat Scam Kebangsaan di talian 997 untuk membuat tindakan pantas menyekat wang yang diserahkan kepada sindiket penipuan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1248
Kongsi :
Previous post Santai ‘ride & run’ Banda Hilir dapat sambutan
Next post ‘Car free zone’ tumpuan keluarga bersantai
Ubah saiz-+=