Ladang benih padi MR297 dilaksanakan Nov ini

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

KESIDANG 14 Mac – Projek rintis penghasilan benih varieti padi M297 di Merlimau akan dilaksanakan seawal November ini dan hasil tuaian dijangka diperolehi enam bulan kemudian.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, projek itu dijangka akan dilaksanakan dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi berikutan proses kerja tanah termasuk perataan petak sawah dan ubah suai sistem saliran sedang dilaksanakan.

Katanya, proses penanaman benih padi MR297 ini memerlukan keluasan 46 hektar bagi menampung kapasiti penanaman padi di 1,385 hektar sawah di Melaka.

“Kita jangka seawal bulan November akan ditanam dan dituai benihnya sekali gus digunakan pada Januari atau Februari tahun hadapan.

“Selepas ini isu benih padi yang tidak mencukupi melanda pesawah kita yang merungut selalu tidak mencukupi dapat diatasi apabila benih MR297 akan dijual kepada pesawah Negeri Melaka dahulu, baki baru kita beri kepada pengeluar.

“Kita akan dilaksanakan di Kampung Tengah Padang, Merlimau melibatkan kira-kira 20 hingga 25 pesawah dan kawasan itu akan dijadikan sebagai ladang benih padi Melaka,” katanya,

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Simpulan Kasih di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Exco Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Mengulas lanjut, Dr. Akmal yang juga Adun Merlimau berkata pelaksanaan varieti padi MR297 ini adalah penyelesaian jangka masa panjang selain terbukti penghasilannya meningkatkan penghasilan padi tiga kali ganda daripada biasa.

“Dalam anggaran kawasan satu hektar (sawah) mampu menghasilkan padi empat tan jadi kita jangkakan menerusi penggunaan MR297 mampu meningkatkan dua kali ganda, lebih kurang enam hingga lapan tan.

“Penggunaan benih padi itu sekali gus meningkatkan SSR (kadar kepenggunaan) pada tahun 2026 daripada sembilan peratus kepada 15 peratus, yang mana penghasilannya tiga kali ganda.

“Kalau kita boleh gunakan MR297 mampu mengatasi masalah sawah yang tidak cukup bekalan air kerana benih padi itu mempunyai ketahanan air,” katanya.

Terdahulu, pada program berkenaan seramai 120 anak yatim dan asnaf daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Duyong dan Parlimen Tangga Batu menerima sumbangan Ramadan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

536
Kongsi :
Previous post Emel khas untuk 250,000 penduduk Melaka
Next post Harga ayam percik kekal macam biasa
Ubah saiz-+=