Ladang sawit dipercayai punca banjir berlaku dua kali seminggu

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER LIMAU 10 Ogos – Kejadian banjir berulang di Kampung Ramuan China Besar, di sini, dipercayai berpunca daripada anak sungai yang dipenuhi sisa buangan kelapa sawit, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Beliau berkata, sebuah ladang kelapa sawit di Sungai Baru perlu bertanggungjawab terhadap perkara itu dan perlu segera mencari jalan penyelesaian bagi mengelakkan kerugian berterusan dihadapi penduduk setempat.

“Apabila kita lihat sungai yang tersumbat ini bukan saja dipenuhi dengan sisa pelepah kelapa sawit malah dengan pokok sawit pun terhanyut mengakibatkan air naik ke rumah penduduk sekitar.

“Minggu lalu sebanyak 23 buah rumah terjejas dan kita dapati hari ini sebanyak 13 buah rumah berdepan kejadian ini yang berpunca daripada masalah sama.

“Kita minta Sungai Baru Estate bersama-sama bertanggungjawab dalam mengatasi masalah ini bagi memastikan kejadian banjir tidak berulang di kampung ini,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, beliau mendakwa lambakan sisa sawit yang disalurkan ke sungai kampung berkenaan berpunca daripada sistem pengurusan ladang yang tidak mempunyai loji pelupusan.

Rentetan itu pihaknya akan berurusan dengan pihak ibu pejabat pengurusan estet berkenaan bagi memastikan isu bajir yang berlaku segera diatasi di kampung berkenaan.

“Hari ini kita ada hubungi pihak mereka untuk melaporkan perkara ini namun panggilan itu gagal dihubungi.

“Kita akan terus berurusan dengan pihak ibu pejabat untuk melaporkan perkara ini agar mereka bersama-sama bertanggungjawab bagi menyelesaikan isu banjir berulang dari kampung Ramuan China Besar,” tegasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5335
Kongsi :
Previous post PSBM gerakkan ahli bantu mangsa ribut
Next post Kafe hipster sudah 50 peratus siap
Ubah saiz-+=