Lafaz Syahadah di pagi Aidiladha
TABOH NANING 13 Julai – Pagi Aidiladha lalu, membuka lembaran baharu buat Johari Sudah, berketurunan masyarakat Orang Asli apabila dia mengucapkan dua kalimah syahadah, sekali gus secara rasmi bergelar lelaki Muslim.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning Zulkiflee Mohd Zin berkata, lelaki itu menunjukkan kesungguhan mahu ‘berhijrah’ dan mengucapkan dua kalimah syahadah selepas umat Islam selesai menunaikan Solat Sunat Aidiladha, disaksikan kadi daerah Alor Gajah.
“Kita menyahut kesungguhan Johari dan akan membimbing dia untuk menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim sejati mengikut ajaran Islam sebenar.
“Apa yang membanggakan apabila difahamkan Johari sekarang ini sudah mula menunaikan solat lima waktu dengan bimbingan ustaz dan pemimpin setempat dalam kalangan masyarakat Orang Asli beragama Islam,” katanya.
Zulkiflee berkata, setakat ini Johari tinggal di sebuah pondok di Kampung Bukit Payong didirikan diatas tanah miliknya dan agensi berkenaan sudah menyatakaan kesediaan menaik taraf kemudahan itu bagi memberikan lebih keselesaan kepadanya.
Terdahulu, Zulkiflee bersama Johari dan wakil agensi seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan sebuah syarikat swasta hadir pada majlis korban diadakan di kampung berkenaan pada, 13 Julai lalu.
“Ibadah korban kali ini membabitkan enam lembu yang diagihkan ke perkampungan masyarakat Orang Asli sekitar negeri ini. Diharapkan program dianjurkan akan memperkukuhkan lagi akibat suadara baharu kita.
“Malah ketika ini permohonan untuk mengadakan solat Jumaat di kampung ini sudah dibawa ke Jabatan Mufti bagi diteliti, memandangkan penduduk beragama Islam sudah mencapai 70 orang. Jika tiada sebarang halangan ia akan dilaksanakan, insyaAllah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.