‘Lain yang timbul, lain yang jumpa’

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

KLEBANG 24 Ogos – Rentetan orang ramai mengerumuni Pantai Klebang petang tadi, rata-rata mereka yang asalnya mahu mengutip hasil siput sedut yang tular di media sosial hari ini, beralih arah mengutip remis yang turut ada di pantai itu.

Seorang penduduk, Suraini Harum,28, dia tidak melepaskan peluang mengutip remis sejak jam 2 petang tadi demi mendapatkan rezeki buat keluarganya.

Suraini yang datang bersama ibu saudara serta sepupunya, berjaya memungut kira-kira tujuh kilogram siput remis dengan hanya ‘meraba’ di dalam celahan pasir di pesisir pantai berkenaan.

PANTAI Klebang dikerumuni penduduk setempat selepas tular di media sosial berkenaan munculnya siput sedut yang terdampar di pantai berkenaan.

“Alhamdulillah, ‘raba-raba’  mengunakan jari, jumpa juga hasilnya hari ini dan ia tidaklah susah mana pun, hanya menggunakan tangan sahaja, hasil yang diterima cukup lumayan.

“Hari ini umpama pesta selepas ia ditularkan dan kami pada awalnya tak mahu lepaskan peluang untuk mengutip siput sedut namun ia bertukar kepada rezeki lain hari ini,” katanya.

Sementara itu, Jamilah Amat, 53, memberitahu niat kedatangannya itu juga untuk memungut siput sedut namun lain pula yang dijumpai di pantai itu.

“Selepas tular di Facebook berhubung siput sedut ‘naik’ di Pantai Klebang, saya bergegas ke sini namun apabila sampai saiznya masih kecil dan tidak boleh dimakan.

“Saya dan beberapa penduduk kampung yang lain bagaimanapun terjumpa remis di dalam pasir dan kami mula ‘meraba’ mencari seberapa banyak yang mungkin untuk dijadikan juadah di rumah,” katanya.

Norhaslinda Mohamat, 36, agak terkejut apabila saiz siput remis kali ini agak luar biasa dan lumayan membuatkan dia antara pengunjung yang ‘berpesta’ di pantai itu.

“Syukur Alhamdulilah, setakat ini kami berjaya memperoleh sekitar tiga kilogram siput remis yang agak kasar saiznya dan ini sesuai untuk dimasak masakan tumis serai serta pelbagai lagi.

“Siput remis ini akan disimpan semalaman, dengan merendamkannya di dalam air bagi membuang lebihan pasir yang terkandung sebelum dimasak buat santapan keluarga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1477
Kongsi :
Previous post Negeri Sembilan masuk Fasa Dua
Next post Kudung bukan penghalang laksana kebajikan
Ubah saiz-+=