Sorting by

×

Lang Tengah Turtle Watch lancar kempen sarang penyu

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

KUALA TERENGGANU, 17 Jan – Pertubuhan Pemuliharaan Alam Sekitar, Lang Tengah Turtle Watch (LTTW) menganjurkan Kempen Penajaan Sarang Penyu Tahun 2022 bagi meningkatkan kesedaran orang ramai agar tidak memakan telur penyu dan memboikot penjualannya di pasaran.

Pengurus Projek Lapangan LTTW Yasmin Rizal berkata kempen itu juga adalah sebagai antara usaha untuk memupuk kesedaran masyarakat dalam pemuliharaan penyu, di samping mengumpul dana dengan menggalakkan orang ramai menaja satu atau lebih sarang telur penyu.

“Program penajaan sarang penyu dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) itu dapat memastikan telur penyu menetas dengan selamat di dalam pusat penetasan, serta menyediakan peluang kepada pemajak telur penyu tempatan yang berlesen untuk menjana pendapatan.

“Dana yang disumbangkan akan digunakan untuk membeli telur penyu daripada pemajak berlesen dan digunakan sepenuhnya bagi tujuan pemuliharaan penyu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya setiap sarang yang ditaja dapat menyelamatkan sehingga 150 ekor penyu dan selepas anak penyu menetas, ia akan dilepaskan semula ke lautan.

Yasmin berkata tanpa perlindungan sewajarnya, sarang penyu berisiko diburu untuk penjualan telur sama ada di pasaran sah atau haram, menyebabkan bilangan penyu semakin merosot dan akhirnya akan pupus.

“Dengan setiap tajaan sarang penyu, LTTW juga akan memaklumkan penaja tentang situasi terkini sarang yang ditaja seperti bilangan telur, jangkaan masa untuk anak-anak penyu menetas, dan peratus yang berjaya menetas dan dilepaskan kembali ke lautan,” katanya.

Katanya maklumat lanjut boleh didapati di https://www.langtengahturtlewatch.org/adoptions/ dan bagi individu yang berminat menjadi penaja sarang, boleh layari http://tinyurl.com/AdoptionFormLTTW.

Menurut Yasmin untuk rekod, LTTW telah berjaya menyelamatkan lebih 80,000 telur penyu agar dan hijau serta tuntung laut daripada dijual di pasaran sejak 2016 hingga 2021.

“Usaha pemuliharaan oleh LTTW ini telah membantu meningkatkan jumlah penyu agar, penyu hijau dan tuntung laut yang terancam di Terengganu,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1610
Kongsi :
Previous post Lebih banyak kelong memancing akan dibangunkan di Merlimau
Next post 40 peratus populasi dewasa negara sudah terima dos penggalak
Ubah saiz-+=