Langkah kanan realisasi penubuhan Universiti Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 24 Dis. – Dalam usaha merealisasikan hasrat menubuhkan Universiti Melaka (UNIMEL), kerajaan negeri memulakan langkah kanan dengan menjalin kerjasama menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) bersama 41 agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal dan Vokasional, Sains dan Inovasi), Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, ia adalah sebagai langkah menaik taraf ranking Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (SETARA) KUIM dari tiga bintang ke lima bintang.

MOHD Taib bersama Ketua Pegawai Operasi Melaka Hari Ini (MHI), Anuar Shaari bergambar bersama selepas bertukar dokumen MoU sambil disaksikan Sulaiman.

“Kerjasama strategik antara pemain industri membabitkan pelbagai sektor akan diperluaskan KUIM bagi mencapai matlamat institusi berorientasikan industri yang mampu mencapai tahap penubuhan universiti berdasarkan ranking SETARA.

“Sekarang KUIM hanya mencapai tiga bintang dan untuk merealisasikan penubuhan UNIMEL, penarafan lima bintang diperlukan. Bagaimanapun kita cuba pertingkatkan dari tiga bintang kepada empat bintang dahulu.

“Jalinan rangkaian srategik terhadap 41 agensi membabitkan dalam dan luar Melaka mampu memastikan jalinan strategik dengan program pertukaran pelajar, penyaluran dana sekali gus mampu menyuntik pendidikan dan penyelidikan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara KUIM dan 7 Agensi Kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan di Seri Bendahara sambil disaksikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali.

Hadir sama, Naib Canselor KUIM, Prof. Datuk Dr. Mohd Taib Dora.

Sementara itu, Mohd Taib menjelaskan, bagi memenuhi syarat penubuhan UNIMEL, beberapa kriteria perlu dipenuhi bagi menubuhkan unversiti tersebut.

“Antaranya adalah keperluan staf yang perlu mempunyai pengiktirafan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), profesor, pensyarah kanan, dana penyelidikan yang mencukupi termasuk keperluan kemasukan pelajar antarabangsa.

“Selain itu, penyediaan fasiliti pembangunan kampus yang lengkap dan yang paling penting adalah kursus pengajian Diploma dan Ijazah yang diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” katanya.

Terdahulu, sebanyak tujuh agensi telah terlibat dalam MoU tersebut membabitkan Majlis Ekonomi Halal dan Keusahawnan Ummah Malaysia; Taman Mini Malaysia dan Mini ASEAN; Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM); Hotel AMES; Melaka Hari Ini (MHI); Buletin Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan Kolej Antarabangsa DMDI.

Views:

692
Kongsi :
Previous post Budak perempuan dua tahun patah tangan tersepit pintu lif
Next post Tan Sri Mohamad Aziz meninggal dunia
Ubah saiz-+=