Langkah kanan ‘Tok Mat’, mula agih 4,500 bakul makanan

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 5 Julai – Sebanyak 4,500 bakul makanan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi Parlimen Jasin mula diagihkan Jumaat lalu.

Ahli Parlimen Jasin Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, pengagihan bakul makanan bernilai RM80 itu diberikan kepada rakyat yang terjejas semasa penularan wabak COVID-19.

“Di Parlimen Jasin kita peruntukan untuk seluruh kampung sebanyak 1,500 kit makanan melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung ( JPKK).

“Selebihnya akan diagihkan kepada masjid, masyarakat Cina dan India, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), nelayan, ibu tunggal, persatuan bekas tentera dan bekas polis.

“Kit makanan ini meliputi barangan seperti beras lima kilogram, minyak masak dua kilogram, tepung, gula, susu, sardin empat tin, garam dan kicap,” katanya ketika dihubungi MHI.

AHMAD.

Bantuan kit makanan tersebut telahpun diagihkan bermula hari Jumaat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, DUN Merlimau (Sabtu), DUN Rim dan Sungai Rambai (Ahad), DUN Bemban (hari ini) dan masyarakat Cina serta India (Selasa).

Katanya, pihaknya amat berbesar hati dan berterima kasih dengan peruntukan disalurkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk Program Bantuan Bakul Makanan tersebut.

“Saya sangat berbesar hati, dalam keadaan cukup mencabar ini peruntukan RM300,000 dibawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah tepat pada masanya.

“Kita nak manfaatkan duit ini dan memastikan rakyat di bawah mendapat bantuan ini dan saya sendiri akan menggunakan peruntukan sendiri jika ada yang tidak cukup,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

569
Kongsi :
Previous post Pejabat LHDN cawangan Melaka ditutup untuk sanitasi
Next post Beberapa negeri lagi berpotensi beralih ke fasa dua PPN- Muhyiddin
Ubah saiz-+=