Lapan lelaki ditahan positif dadah di Pulau Besar

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat
SERAMAI 24 individu termasuk seorang wanita warga emas berusia 67 diperiksa sepanjang operasi dijalankan.

MELAKA TENGAH 25 Julai – Lapan lelaki ditahan dipercayai positif pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine dalam operasi bersepadu di Pulau Besar pagi tadi.

Operasi dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) serta polis marin itu bermula pada jam 7.00 pagi dan berakhir enam jam kemudian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, seramai 24 individu termasuk seorang wanita warga emas berusia 67 diperiksa sepanjang operasi dijalankan.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati lapan lelaki berusia 24 hingga 52 tahun daripada jumlah individu diperiksa positif dadah.

“Enam lelaki yang positif diserahkan kepada AADK dan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983.

“Dua lagi lelaki masing-masing berusia 43 dan 52 tahun ditahan polis IPD Melaka Tengah disyaki positif dadah jenis methamphetamine .

“Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 15(1)a dan 39C Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Afzanizar berkata, dalam operasi berkenaan MBMB turut bertindak merobohkan lapan khemah yang dibina tanpa kebenaran, manakala tiga lagi adalah khemah yang dibuka sendiri oleh pemilik tanpa kebenaran.

“Operasi itu dijalankan bertujuan untuk memastikan Pulau Besar bebas daripada gejala penyalahgunaan dadah serta selamat untuk dikunjungi pelawat,” katanya.

Views:

425
Kongsi :
Previous post Jangkitan Covid-19 terus meningkat
Next post Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka hadir mesyuarat MKT UMNO
Ubah saiz-+=