Sorting by

×

LAPAN LELAKI ‘KANTOI’ PONTENG PUASA DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KLEBANG 8 Mac – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah menahan lapan lelaki yang didapati ponteng puasa dengan makan, minum dan merokok di tempat awam setakat 7 hari pertama puasa.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, kesemua mereka ditahan dalam 11 Operasi Kesalahan Tidak Menghormati Ramadan yang diadakan di 127 buah premis makanan di seluruh negeri sejak awal Ramadan lalu.

Menurut beliau, kesemua mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 49, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka (EKSNM) 1991: Kesalahan menjual makanan dan makan dalam bulan Ramadan.

“Rata-rata mereka yang ditahan memberi alasan tidak sihat dan tidak larat untuk berpuasa, namun ia bukan alasan untuk makan dan minum di tempat awam.

“JAIM akan meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa sepanjang Ramadan ini dan mengingatkan orang ramai kesalahan ini tidak boleh dikompaun sebaliknya mereka dikehendaki hadir ke mahkamah untuk tindakan seterusnya.

“Kesalahan ini boleh didenda tidak lebih daripada RM1,000 atau dipenjara sehingga enam bulan jika disabit kesalahan kali pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Operasi Kesalahan Tidak Menghormati Ramadan bersama sepasukan penguat kuasa JAIM di sebuah warung di Bukit Rambai, di sini, hari ini.

Operasi itu turut disertai Pengarah JAIM Datuk Md Azhan Samat dan Ketua Pegawai Penguatkuasa JAIM Akmal Nadzim Abdullah.

Dalam serbuan di warung berkenaan kira-kira jam 11 pagi tadi, dua lelaki berusia 52 dan 53 tahun yang sedang menikmati teh tarik dan roti bakar ditahan penguat kuasa JAIM.

Kedua-dua mereka menjadikan ruang tersorok dalam warung bukan Islam untuk makan dan minum dengan alasan tidak sihat dan tidak larat berpuasa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post BANJIR DI MELAKA PULIH, PPS TERAKHIR DITUTUP 5.45 PETANG TADI
Next post LORI TANGKI BAWA MUATAN 22,000 LITER PETROL DAN DIESEL TERBALIK, PEMANDU CEDERA