Laporan 30,000 PKS tutup operasi tidak tepat

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KUALA LUMPUR 13 Nov. –  Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MEDAC) menjelaskan bahawa laporan yang menyatakan lebih 30,000 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menutup operasi mereka sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat COVID-19 yang bermula Mac lalu adalah tidak tepat.

Menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata sebanyak 82,555 perniagaan baharu telah didaftarkan berdasarkan data yang dikeluarkan oleh pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), bermula pada 1 April sehingga 19 Julai tahun ini.

“Ini menunjukkan bahawa dalam situasi semasa COVID-19, ianya tidak menghalang sesiapa sahaja untuk menceburi bidang perniagaan tetapi perlulah mengikut kehendak semasa iaitu dengan menggunakan platform e-dagang sebagai salah satu medium pemasaran produk atau perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Junaidi menerusi jawapan bertulis Parlimen pada 5 Nov lepas, menyatakan bahawa berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh SSM, sebanyak 9,675 syarikat dan perniagaan yang menutup operasi pada 18 Mac sehingga 9 Jun 2020 dan 22,794 syarikat juga telah menutup operasi bagi tempoh 10 Jun sehingga September 2020.

“Kenyataan ini menunjukkan bahawa dalam tempoh Mac hingga September, ianya bukan hanya merujuk kepada syarikat PKS yang menutup operasi tetapi merangkumi keseluruhan syarikat yang berdaftar dengan SSM,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata MEDAC sentiasa mengambil langkah proaktif dan menyarankan agar para usahawan perlu sentiasa berfikiran positif dalam menghadapi situasi semasa penularan pandemik COVID-19 dengan bersiap sedia mengemaskan diri dan perniagaan dengan perkongsian pengetahuan yang disediakan secara percuma oleh agensi kerajaan bagi mendapatkan cara baharu menjalankan perniagaan.

Di samping itu, Wan Junaidi berkata, usahawan juga perlu menyesuaikan perniagaan dengan norma baharu kehidupan, memperkasakan perniagaan melalui pendigitalan dan memperhebatkan strategi promosi.

“PKS disarankan untuk mengekalkan data maklumat pelanggan, mengekalkan perhubungan dengan pelanggan, mengekalkan jenama produk mereka supaya pelanggan tidak melupakan produk mereka selepas tempoh PKP berakhir,” katanya.

— BERNAMA

Views:

349
Kongsi :
Previous post 22 kawasan alami gangguan air
Next post RCEP: Malaysia hormati pendirian India – PM
Ubah saiz-+=