Lautan manusia meriahkan Hari Malaysia di Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 19 Saat

BANDA HILIR 16 September – Lautan manusia menggamatkan suasana sambutan Hari Malaysia 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir, di sini, malam ini.

Seawal jam 3 petang lagi, pengunjung mula tiba di lokasi sambutan bagi memeriahkan sambutan yang julung kali diadakan di Semenanjung Malaysia ini.

Tepat jam 8 malam, aura kemeriahan semakin dirasai apabila tetamu-tetamu kehormat mula hadir ke khemah utama.

Menariknya, tetamu kehormat, Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam serta dif-dif kehormat tiba menaiki 16 beca diiringi basikal tua dan vespa sambil berpakaian ala 60-an.

Lagu-lagu era 60-an mengiringi ketibaan tetamu kehormat, di samping paparan sepanduk bertulisan jawi dan rumi ejaan lama menambah keserian sambutan kali ini.

photo_6133946892443302058_y
PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berarak menaiki beca menuju ke pentas utama pada sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir, Melaka. Foto: MR. AZLI

Acara julung kali diadakan di kawasan terbuka itu dimulakan dengan persembahan pembukaan Catatan Malaysia iaitu persembahan gerak, visual dan narator oleh pelakon veteran Shaharudin Tambi yang menggambarkan sejarah pembentukan negara Malaysia berkonsepkan patriotisme, imbas kembali, teatrikal dan muzikal.

Turut diadakan bacaan ikrar Rukun Negara yang dibacakan Tokoh Budaya Negeri Melaka dan Tokoh Guru Abd. Rani Embi diiringi 14 orang mewakili kepelbagaian etnik iaitu Melayu, Cina, India, suku kaum Sabah dan Sarawak, Baba Nyonya, Sikh, Chetti, Portugis dan Orang Asli.

photo_6133946892443302059_y
KETUA Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali bersama Datin Seri Utama Munira M. Yusop berarak menaiki beca menuju ke pentas utama pada sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir, Melaka. Foto: MR. AZLI

Acara kemuncak ialah upacara menandatangani Buku Watikah Pengisytiharan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Utama Ismail Sabri bin Yaakob; Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Menteri mewakili Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan; dan Timbalan Ketua Menteri Sabah II merangkap mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan sambil disaksikan Tun Mohd Ali.

Turut diadakan persembahan khas ‘Dari Robohan Kota Melaka, Kita Dirikan Negara Merdeka’ yang menampilkan empat segmen khas iaitu Pahlawan Bangkit ‘Bahang Nasionalisme Tanah Air Kita’; Jejak Merdeka; Malaysia Kita (Lambaian Bayu dan Sayap Kenyalang) dan Teguh Banjaran Titiwangsa.

photo_6133946892443302064_y
SUASANA persembahan sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2022 di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir. Foto Iqmal Haqim Rosman

Sambutan Hari Malaysia 2022 turut disiarkan secara langsung melalui stesen-stesen penyiar iaitu RTM, Bernama TV, TV3, Astro AWANI, TV Alhijrah dan Suke TV serta Facebook live Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM), Jabatan Penerangan Malaysia dan Merdeka360.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2099
Kongsi :
Previous post Bomba selamatkan kanak-kanak mangsa dera
Next post Hari Malaysia peluang terbaik untuk Melaka – KM
Ubah saiz-+=