Leaptec dan syarikat Turkiye, Desan meterai MoU bernilai RM2 bilion

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

MELAKA 13 April – Leaptec Engineering Sdn Bhd (Leaptec), anak syarikat LBS Bina Group Berhad, pemaju hartanah terkemuka tempatan, hari ini, memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama sebuah syarikat berpangkalan di Turkiye, Desan Deniz Ins. San. A.S (Desan).

Majlis menandatangani MoU itu telah berlangsung di ibu pejabat Desan di Istanbul.

Pada majlis itu, Leaptec diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan manakala Desan diwakili Pengerusinya, Cenk Ismail Kaptanoglu.

Majlis tersebut telah disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang dalam rangka lawatan kerja Kerajaan Negeri Melaka ke negara itu.

Hadir sama menyaksikan MoU itu ialah Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir; Ketua Pegawai Eksekutif Leaptec, Datuk Anis Hisham Abd Aziz dan Pengarah Desan, Adil Bahadir Demirag.

Menerusi MoU itu, kedua-dua syarikat bakal bekerjasama untuk meneroka peluang membangunkan perniagaan perkapalan di Jeti Tanjung Bruas, Tanjung Kling, Melaka.

IMG-20230413-WA0027
AB Rauf dan delegasi melawat ke shipyard Desan.

Ia membabitkan perniagaan membaiki dan membina kapal dengan nilai projek dijangka lebih RM2 bilion.

MoU yang ditandatangani itu berkuat kuasa untuk tempoh 12 bulan bermula hari ini (13 April), dan akan diperbaharui selepas mendapat persetujuan bersama kedua-dua syarikat.

Pengerusi Eksekutif LBS Bina Group Berhad dan Leaptec, Tan Sri Lim Hock San dalam satu kenyataan menyatakan keterujaan pihaknya dalam kerjasama di antara syarikatnya dengan Desan.

“Kami telah meneliti dan menilai pelbagai rakan kongsi untuk bekerjasama dalam membangunkan projek ini dan kami sangat gembira dapat bersama Desan.

“Desan merupakan syarikat yang dikenali dalam bidang perkapalan dan kita percaya perniagaan yang akan dibangunkan ini sangat baik untuk pembangunan industri di Melaka,” katanya.

Screenshot_2023-04-13-20-57-42-332-edit_com.whatsapp
AB Rauf (kanan) menyaksikan majlis menandatangani MOU di antara Leaptec dan Desan di ibu pejabat Desan di Istanbul, Turkiye. Hadir sama, Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir (kiri).

Untuk rekod, pada 2021 lalu, Leaptec telah menandatangani perjanjian pembangunan dengan Kerajaan Negeri Melaka untuk membangunkan tanah tambakan laut seluas 485.6 hektar (1,200 ekar) yang termaktub di dalam kawasan Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4630
Kongsi :
Previous post JAKIM sangkal laporan cerapa 1 Syawal 1443H tidak sah
Next post Sambutan dua dekad MBMB dirai penuh kesyukuran
Ubah saiz-+=