Lebih 30 manuskrip, penulisan hikayat Hang Tuah akan dipamerkan kepada umum

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

BANDARAYA MELAKA 24 April – Institut Tun Perak (ITP) menerima lebih 30 manuskrip dan penulisan mengenai hikayat Hang Tuah dalam pelbagai bahasa untuk dipamerkan kepada umum.

Ketua Pegawai Eksekutif ITP, Prof. Madya Dr. Mohamad Ainuddin Iskandar Lee Abdullah berkata, manuskrip tersebut bakal dipamerkan pada Pameran Hang Tuah yang akan diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Jun depan.

Beliau berkata, buat masa ini pihaknya masih dalam proses menyusun kesemua manuskrip itu bagi pameran berkenaan.

“Setakat ini lebih 30 manuskrip dan penulisan hikayat Hang Tuah dalam Bahasa Jawi, Bahasa Indonesia, Bahasa Inggeris dan lain-lain bahasa sudah diterima pihak ITP.

“Kita juga berjaya mendapatkan buku-buku tentang Hang Tuah dari luar negara, cumanya bagi artifak mengenai Hang Tuah pihak Universiti Islam Melaka (UNIMEL) akan mendapatkannya sendiri.

“Difahamkan ada kira-kira 10 artifak (barangan) peninggalan Hang Tuah yang akan dibawa balik oleh pihak UNIMEL daripada waris-waris yang sudah dikenal pasti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada Seminar Pemantapan Penyelidikan Kajian Hang Tuah Menerusi Sumber-Sumber Baharu yang dirasmikan Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama Naib Canselor UNIMEL, Prof. Datuk Dr. Mohd Taib Dora dan wakil-wakil jabatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

318
Kongsi :
Previous post Tiada tunggakan bayaran kontraktor RMR – SPNB
Next post ‘Tak perlu lagi menumpang teduh’
Ubah saiz-+=