Tiada tunggakan bayaran kontraktor RMR – SPNB

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

LENDU 24 April – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) memberi jaminan tiada sebarang tunggakan pembayaran kepada kontraktor yang membangunkan Rumah Mesra Rakyat (RMR) di negara ini setakat ini.

Pengerusi SPNB, Datuk Husam Musa berkata, isu yang ditularkan di media sosial baru-baru ini adalah isu lama pada 2019, namun dibangkitkan semula bagi mengelirukan semua pihak.

Jelasnya, pihak SPNB telah berjaya menyelesaikan isu tersebut sebelum ini, malah kaedah pembayaran kepada kontraktor juga telah ditambah baik dengan lebih efisien.

“Sebenarnya isu itu berlaku pada 2019, memang dahulu ada tunggakan kepada kontraktor namun selepas itu sekitar 2020 dan 2021 tiada lagi isu berkaitan tunggakan pembayaran dalam pembinaan RMR ini.

“Malah, kaedah pembayaran ini telah ditambah baik selepas sebuah aplikasi dilancarkan dua bulan lalu dan kaedah ini menambahkan lagi kelancaran pembayaran yang boleh diproses tidak kurang seminggu selepas tuntutan dilaksanakan kontraktor.

“Berdasarkan kaedah ini kita melihat ada satu penambahbaikan selepas kaedah dalam talian dilaksanakan dan kerana itu kita boleh bayar dengan lebih cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Aidilfitri dan Penyerahan Kunci Serta Inden Kerja RMR SPNB Cawangan Melaka diadakan di Kampung Durian Daun, di sini, hari ini.

Pada program itu, seramai enam penerima RMR di Parlimen Masjid Tanah telah menerima penyerahan kunci disampaikan Husam selain lima kontraktor turut menerima penyerahan dokumen inden bagi membina RMR di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Husam berkata penambahbaikan yang dilaksanakan SPNB itu telah mendapat kepercayaan kontraktor bagi menyertai syarikat itu untuk menjalankan projek pembinaan RMR di negara ini.

Katanya, setakat ini SPNB telah menerima pertambahan kontraktor berdaftar dan sehingga kini merekodkan lebih kurang 3,000 kontraktor berdaftar di seluruh negara.

“Sekarang kita telah menerima kepercayaan daripada mereka disebabkan kita berjaya menyelesaikan isu ini dan membayar tuntutan mereka dengan lebih pantas.

“Untuk rekod, daripada jumlah berkenaan seramai 108 kontraktor berdaftar dicatatkan di Melaka untuk mengikuti projek RMR di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

97
Kongsi :
Previous post Pengurus syarikat agensi pelancongan mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan
Next post Lebih 30 manuskrip, penulisan hikayat Hang Tuah akan dipamerkan kepada umum
Ubah saiz-+=