Lebih 3,000 ikan dipancing di Sungai Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

BANDARAYA MELAKA 26 Februari – Bagaikan berpesta ikan. Itu suasana Pertandingan Memancing Ikan Air Tawar Sungai Melaka, di sini, semalam.

Mana tidaknya, sebaik siren permulaan dibunyikan pada jam 8.30 pagi, tidak putus-putus peserta mendaratkan tangkapan masing-masing.

Menurut urusetia pertandingan, dianggarkan lebih 3,000 ekor ikan pelbagai spesies telah dihantar ke meja hakim pada pertandingan yang berlangsung selama empat jam itu.

Ikan tilapia menjadi tangkapan yang paling banyak dinaikkan, malah spesies itu juga paling banyak tersenarai dalam kedudukan pemenang.

Selain tilapia, turut didaratkan ialah ikan haruan, ketutu, bandaraya dan lundu, selain keli yang disenaraikan sebagai hadiah khas.

Img 20240225 233159 015
EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman bergambar bersama peserta yang menaikkan tangkapan ikan tilapia pada Pertandingan Memancing Sungai Melaka. Foto: MR. AZLI

Di akhir pertandingan, ikan haruan seberat 1.295 kilogram (kg) muncul sebagai ikan terberat sekali gus menjadi johan pertandingan memancing berkenaan yang menawarkan hadiah wang tunai RM30,000.

Ikan bandaraya seberat 0.905kg pula menduduki tempat kedua dan diikuti ikan tilapia seberat 0.665kg di tempat ketiga.

Pertandingan memancing bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) itu disertai seramai 1,200 kaki pancing dalam dan luar Melaka.

Ia menawarkan hadiah keseluruhan RM80,000, selain pelbagai cabutan bertuah menarik, termasuklah sebuah bot beserta enjin yang bernilai RM6,000.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2533
Kongsi :
Previous post Joran nyaris dilarikan ‘bandaraya’
Next post Lima kereta, 11 motosikal musnah dalam kebakaran bengkel
Ubah saiz-+=