Lebih 40,000 pengunjung bazar Jalan Hang Tuah berpeluang menang Proton Saga

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

BANDARAYA MELAKA 22 April – Lebih 40,000 pengunjung telah berbelanja sekurang-kurangnya RM30 di Melaka Grand Ramadan Bazar (Melgrab) Jalan Hang Tuah setakat 19 April lalu.

Ia sekali gus melayakkan mereka mendapatkan kupon cabutan bertuah yang membolehkan mereka berpeluang memenangi sebuah kereta Proton Saga 1.3 AT Premium bernilai hampir RM50,000 menerusi cabutan bertuah.

Penganjur Melgrab Muhammad Fikri Mohd Ali berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 80,000 kupon akan diberikan kepada pengunjung sebelum cabutan dilakukan pada esok malam (23 April).

“Seperti sedia maklum bazar ini sebelum ini pernah jadi satu bazar yang gemilang tetapi merudum sedikit beberapa tahun yang lepas.

“Jadi tahun ini saya bersama ‘team’ dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) komited untuk menaikkan semula bazar ini. Awalnya kami takut juga kerana tahun lepas khemah sahaja penuh tetapi orang tiada.

“Sebab itu kita memperkenalkan cabutan bertuah istimewa sebuah kereta yang mana hanya memerlukan mereka berbelanja sekurang-kurangnya RM30 untuk melayakkan mereka mendapat kupon cabutan bertuah ini.

“Alhamdulillah setakat 19 April jumlah kupon yang diedarkan kepada pengunjung mencecah 40,000, jadi kami sasarkan 80,000 kupon akan diedarkan pada pengunjung,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

MUHAMMAD Fikri

Dalam perkembangan lain, Muhammad Fikri berkata, selain penganjuran bazar, Melgrab juga terlibat dengan aktiviti-aktiviti kebajikan pada Ramadan kali ini.

Katanya, antara yang dilakukan ialah pihaknya menyumbangkan RM10,000, selain meletakkan tabung-tabung sumbangan di sepanjang bazar yang mana kutipannya akan diagihkan kepada madrasah terpilih di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1451
Kongsi :
Previous post Tiga maut terperangkap dalam kebakaran di pusat hiburan karaoke
Next post Waspada taktik baharu sindiket penipuan guna nama LHDN
Ubah saiz-+=