Lebih 7,000 lesen nelayan tidak aktif ditarik balik

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUALA SUNGAI BARU 4 Sept – Lebih 7,000 lesen nelayan telah dibatalkan Jabatan Perikanan Malaysia selepas dikesan gagal mematuhi dasar dan prosedur perlesenan ditetapkan kerajaan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, jumlah lesen menangkap ikan yang dibatalkan itu direkodkan dalam pemutihan dijalankan sejak 2015 sehingga tahun lalu.

Beliau menjelaskan, pemutihan yang dilaksanakan itu seiring bagi memberi peluang kepada senarai pemohon baharu selain mengelakkan tuntutan elaun sara diri dalam kalangan nelayan tidak aktif.

“Setakat ini dianggarkan lebih 7,000 lesen menangkap ikan telah dibatalkan selepas nelayan terbabit dikesan tidak lagi aktif.

“Ini termasuk gagal menghidupkan lesen lebih daripada setahun, tidak mahu meneruskan pekerjaan tersebut, meninggal dunia atau tidak selaras dengan dasar dan prosedur ditetapkan.

“Proses pemutihan ini dilakukan bagi memastikan semua nelayan tulen masih aktif, selain menentukan kelulusan permohonan lesen baharu selari jumlah nelayan dan hasil laut di kawasan perairan tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media program Penyerahan Sumbangan Bakul Makanan MAFI kepada nelayan Parlimen Masjid Tanah, di Pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Pada program itu 34 nelayan daerah itu turut menerima sijil lesen sampan khas.

Ahmad Hamzah berkata, menerusi pemutihan dijalankan pada 2015, sebanyak 56,211 vesel menangkap ikan direkodkan dan jumlah itu dikurangkan kepada 48,826 tahun lalu.

Jelas beliau, sebanyak 3,629 lesen khas sampan menangkap ikan telah diluluskan di seluruh negara dengan kebanyakannya membabitkan nelayan laut.

“Di Melaka, kita menerima 300 permohonan lesen daripada nelayan laut, manakala nelayan darat seramai 200 orang.

“Selain itu, setakat ini sebanyak 141 lesen khas sampan memancing ikan telah diluluskan, manakala bagi seluruh negara kita telah mengeluarkan 3,629 lesen khas berkenaan.

“Lesen khas ini dikeluarkan secara berperingkat dengan keutamaan diberikan kepada nelayan yang menjadikan pekerjaan tersebut sebagai sepenuh masa dan tidak mempunyai pencen,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

706
Kongsi :
Previous post Rakyat Melaka puas hati tindakan penguatkuasaan polis
Next post Seramai 250 lagi usahawan tani bakal diberi Geran Agroprenuer Muda
Ubah saiz-+=