Rakyat Melaka puas hati tindakan penguatkuasaan polis

Masa Membaca:2 Minit, 18 Saat

MELAKA 4 Sept – Sebanyak 92.3 peratus daripada 719 orang penduduk di negeri ini berpuas hati dengan tindakan penguatkuasaan oleh Polis Melaka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac tahun lalu.

Kajian dijalankan bertujuan menilai tahap persepsi penduduk Melaka terhadap tindakan penguatkuasaan polis di negeri ini seiring dengan hasrat serta komitmen agensi itu memberikan perkhidmatan berkualiti kepada masyarakat keseluruhannya.

Hasil kajian persepsi pelaksanaan penguatkuasaan PDRM Melaka yang dijalankan selama seminggu bermula 13 hingga 19 Julai lalu mendapat 1,705 responden, namun 719 orang daripadanya pernah berurusan dengan polis negeri berkaitan pematuhan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara.

Kajian tersebut merangkumi empat elemen iaitu responsif, kebolehpercayaan layanan PDRM dan empati yang mana kesemuanya menunjukkan hasil kajian memuaskan daripada responden yang mengambil bahagian.

Daripada 719 orang responden, 425 orang adalah lelaki dan 294 wanita, manakala sektor awam paling ramai terlibat memberi respon iaitu 60.6 peratus atau 436 orang.

Responden paling ramai memberi respon berada dalam kumpulan berusia 31 hingga 40 tahun manakala kaum yang paling ramai menyertai kajian dengan 91.1 peratus atau 655 orang adalah Melayu, Cina (39), India (10) dan lain-lain 15 orang.

Sementara itu, sepanjang Op COVID-19 berlangsung, sebanyak 4.83 juta kenderaan diperiksa dengan pecahan 1.81 juta kenderaan diperiksa tahun lalu manakala 3.01 juta dalam tempoh Januari hingga Julai lalu.

Sebanyak 1,400 tangkapan telah dibuat manakala 5,935 orang telah dikompaun atas pelbagai kesalahan melanggar SOP dengan nilai kompaun sebanyak RM10.09 juta.

Di bawah Op Patuh yang diadakan selama lebih sebulan iaitu 25 Jun hingga 31 Julai lalu telah memeriksa sebanyak 10,950 premis perniagaan, 1,642 kilang, tapak pembinaan 599 manakala 729 asrama pekerja.

Hasil pemeriksaan itu, 148 premis diarah tutup, 55 dikenakan kompaun dengan nilai sebanyak RM456,500.

Bagi Op Patuh yang diadakan dengan kerjasama pelbagai agensi sepanjang tempoh yang sama pula telah memeriksa 50,135 premis dengan 268 diarah tutup, 134 dikenakan kompaun dengan nilai sebanyak RM530,000.

Agensi yang terlibat seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Imigresen, pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Dalam Negeri.

Di bawah program Op Bantu Melaka yang digerakkan bermula 7 Julai hingga 12 Ogos lalu meliputi tiga fasa dengan penerima keseluruhan berjumlah 555 orang iaitu 60 orang fasa pertama, 219 orang fasa kedua manakala ketika seramai 276 orang.

Polis Melaka turut terlibat membantu agensi kerajaan dan masyarakat dalam melancarkan proses pemberian vaksin dan tugas eskot jenazah sepanjang pandemik COVID-19 yang mana 204 tindakan untuk eskot vaksin dan 582 tindakan bagi eskot jenazah.

Masyarakat khususnya rakyat di negeri ini diharap supaya terus memberikan sokongan dan kerjasama dengan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dalam usaha bersama memutuskan rangkaian pandemik COVID-19.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

954
Kongsi :
Previous post Bandar Melaka masih lengang, rakyat tidak mahu ambil risiko
Next post Lebih 7,000 lesen nelayan tidak aktif ditarik balik
Ubah saiz-+=