Seramai 250 lagi usahawan tani bakal diberi Geran Agroprenuer Muda

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

MASJID TANAH 4 Sept – Seramai 250 lagi usahawan tani bakal menerima manfaat Geran Agropreneur Muda disediakan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Timbalan Menteri I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, setakat ini hanya 500 daripada 750 usahawan muda telah menerima manfaat itu sejak awal tahun lalu.

Jelasnya, peluang itu perlu direbut oleh setiap usahawan tani lingkungan 18 hingga 40 tahun yang menjalankan perniagaan berasaskan pertanian termasuk penternakan, perikanan, penanaman dan pengeluaran produk pertanian.

AHMAD…galak lebih ramai golongan muda ceburi bidang pertanian.

“Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM15 juta buat 750 petani muda di negara ini dengan peruntukan geran minimum RM20,000 ditawarkan untuk tahun ini.

“Setakat ini peruntukan RM10 juta telah disalurkan dalam geran ini buat golongan sasar sebagai bantuan tambahan input pertanian seperti bantuan mesin.

“Kita menyeru kepada semua usahawan muda untuk menyertai program ini sebagai usaha kita untuk menggalakkan bidang pertanian dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengagihkan Geran Agropreneur Muda pada lawatan kerjanya di Villa D Acqua, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah Perikanan, Ahmad Tarmidzi Ramly.

Pada program itu seramai 33 usahawan tani dalam negeri ini telah menerima insiatif terbabit dengan peruntukan bernilai RM660,000.

Sementara itu, seorang petani muda, Muhammad Adli Zikry Rosdi, 22, meluahkan rasa syukurnya selepas menerima geran RM20,000 untuk mengusahakan projek penanaman nanas.

Dia sebelum ini menuntut dalam bidang pengajian komposit di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), namun nekad berhenti dan menceburi bidang pertanian selepas diuji pandemik COVID-19.

 

“Pertanian memang dekat dengan saya dan ada potensi untuk pergi jauh.

“Jadi saya sarankan anak muda untuk terus ambil peluang ini,” katanya yang menjadi antara usahawan termuda menerima geran itu.

Muhammad Adli Zikry berkata, geran itu dapat membantunya memperluaskan projek tanaman nanasnya.

“Hasil galakan bapa saya berjaya menanam 16,000 nanas MD2 sejak November tahun lalu di tanah seluas 1.5 ekar (kira-kira 0.61 hektar) dan kini menunggu hasil tuaian pada Januari nanti.

“Alhamdulillah, terima kasih atas insentif (geran) diberikan kerana ia membantu saya membeli baja dan benih tambahan agar pertanian ini mampu diperluaskan,” katanya

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

790
Kongsi :
Previous post Lebih 7,000 lesen nelayan tidak aktif ditarik balik
Next post Liek Hou catat sejarah pemain badminton pertama menang emas Paralimpik
Ubah saiz-+=