Sorting by

×

Lebih 8,000 persatuan sukan tidak aktif berdepan tindakan

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUALA LUMPUR, 29 Jan – Persatuan sukan yang tidak aktif berdepan tindakan seperti diberi surat tunjuk sebab, penggantungan dan pembatalan daripada Pesuruhjaya Sukan (PJS).

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker berkata pihaknya memandang serius perkara itu, memandangkan 70 peratus (lebih 8,000) daripada 11,469 persatuan yang didaftarkan di pelbagai peringkat didapati tidak aktif.

Beliau berkata daripada 11,469 persatuan yang didaftarkan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) sejak 1998 hingga 31 Dis lepas, sebanyak 217 (1.9 peratus) adalah di peringkat kebangsaan, 1,432 (12.5 peratus) peringkat negeri, 1,636 (14.3 peratus) peringkat daerah dan 8,184 (71.3 peratus) peringkat kelab.

“KBS (Kementerian Belia dan Sukan) melalui PJS sedang melakukan Penarafan Bintang Badan Sukan ke atas semua badan sukan yang berdaftar. Persatuan perlu memberikan laporan kepada PJS setiap tahun selepas mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM), untuk kita tafsir tadbir urus dan setakat mana mereka aktif.

“Apabila mereka tidak memberikan laporan, ia memberi gambaran bahawa sebanyak 70 peratus tidak mengadakan AGM atau aktif seperti yang telah ditetapkan dalam perlembagaan,” katanya ketika ditemui selepas rakaman program temu bual Ruang Bicara Bernama TV di Wisma Bernama.

Ti berkata pihaknya perlu mengambil tindakan tegas seperti pembatalan dan penggantungan persatuan yang tidak mematuhi akta dan perlembagaan, bagi mengelakkan mereka terus menerima bantuan kewangan atau dana berkaitan sukan.

Selain itu, Ti berkata pihaknya juga mendapati ada juga pertubuhan sukan yang tidak berdaftar di bawah PJS, sebaliknya berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) atau Pendaftar Syarikat (ROC).

“Jangan mereka leka dan anggap masih terus boleh ambil peluang tanpa menjalankan aktiviti persatuan mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Ti berharap Tahun Baharu Cina kali ini, yang melambangkan zodiak harimau, memberikan lebih banyak kekuatan dan keberanian kepada semua rakyat Malaysia dalam mengatasi segala cabaran yang mendatang. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

668
Kongsi :
Previous post Iskandar dilantik Pengarah Maritim Melaka & NS yang baharu
Next post SWM beroperasi seperti biasa sepanjang Tahun Baharu Cina
Ubah saiz-+=