SWM beroperasi seperti biasa sepanjang Tahun Baharu Cina

MELAKA 29 Jan – Perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam oleh SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) di Melaka akan beroperasi seperti biasa sepanjang cuti umum perayaan Tahun Baharu Cina, 1 dan 2 Feb ini.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, seramai 1,216 anggota dengan kekuatan 250 buah jentera termasuk lori kompaktor, lori terbuka (tipper) dan lori Roll-On Roll-Off (RoRo) akan bertugas pada hari pertama dan kedua sambutan perayaan itu

“Pihak SWM Environment telah menyusun tenaga kerja serta jentera yang mencukupi bagi memastikan kutipan sisa pepejal sepanjang tempoh perayaan ini beroperasi seperti biasa mengikut jadual yang ditetapkan.

“Kami juga akan memberi tumpuan kepada lokasi-lokasi utama yang mempunyai bilangan penduduk kaum Cina yang ramai agar tidak berlaku masalah longgokan sampah tambahan yang banyak dan tidak terkawal.

“Sehubungan itu, orang ramai digalakkan menyemak jadual perkhidmatan kutipan 2+1 SWM Environment di papan tanda kawasan perumahan masing-masing atau di laman web www.swm-environment.com sebagai panduan untuk menguruskan sisa pepejal di kediaman mereka.

“Sekiranya ada sebarang pertanyaan berhubung perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam sepanjang tempoh sambutan Tahun Baharu Cina ini, orang ramai boleh menghubungi Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472 dan Talian WhatsApp SWM di 012-6180082,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Norlisam berkata, masyarakat juga boleh melakukan perubahan pada sambutan Tahun Baharu Cina kali ini dengan mempraktikkan beberapa langkah mudah ke arah mewujudkan ‘konsep perayaan lestari’.

“Antaranya ialah mengamalkan pengasingan sisa di punca dan 3R (kurangkan janaan sisa, guna semula dan kitar semula) semasa melakukan aktiviti mengemas kediaman.

“Orang ramai juga digalakkan memasak juadah perayaan mengikut keperluan sahaja supaya dapat mengelakkan pembaziran makanan yang akhirnya dibuang di tapak pelupusan.

“Bagi menyokong konsep 3R, orang ramai turut disaran menggunakan peralatan dan bekas guna semula sekiranya mahu menghidangkan atau membungkus juadah perayaan.

“Meskipun langkah-langkah ini nampak kecil, tetapi mampu memberi impak besar kepada kelestarian alam sekitar dalam jangka masa panjang,” katanya.

Sebagai galakan kepada penduduk di Melaka untuk melakukan aktiviti kitar semula, SWM Environment telah memperkenalkan program KITARecycle yang membolehkan ahli berdaftar memperolehi mata ganjaran.

Mereka yang ingin mendaftar sebagai ahli secara percuma boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web www.kitarecycle.com atau memuat turun aplikasi KITARecycle di Apple Apps Store dan Google Play Store.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

667
Previous post Lebih 8,000 persatuan sukan tidak aktif berdepan tindakan
Next post Tiga kanak-kanak antara lima yang sesat di Bukit Beruang Hill