‘Lebih baik tutup daripada rugi’

Masa Membaca:2 Minit, 41 Saat

ALAI 6 Julai – Peniaga kedai makan ikan bakar di negeri ini mengakui mereka bukan sahaja terkesan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malah mengalami kerugian besar.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) mendapati, rata-rata golongan ini terhimpit apabila punca pendapatan mereka semakin merosot sejak Januari lalu.

Peniaga Warisan D’Muara Kita, Muhamad Nazri Abu Bakar, 45, ketika ditemui meluahkan rasa kecewa apabila hampir tujuh bulan operasi kedainya tidak menentu.

 

MUHAMAD Nazri

“Saya rasa PKP kali ini paling teruk pernah saya alami sejak awal tahun ini, saya buntu memikirkan tidak ada sebarang pendapatan, bahkan terpaksa menanggung kerugian.

“Apabila kerajaan umumkan pula perintah kawalan pergerakan penuh ‘total lockdown’ seminggu sebelum perayaan Aidilfitri, ia berita yang mengejutkan kami.

“Bila PKP ni memang tak ada pendapatan langsung, niaga ikan bakar orang takkan datang untuk bungkus, kita dah pernah buka seminggu takda jualan pun, lagi rugi ada lah,” katanya kepada MHI.

Katanya, sebelum ini pernah mengalami kerugian hampir RM10,000 apabila kerajaan umumkan pelaksanaan PKP.

MUHAMAD Nazri melihat kedainya yang sudah lama tutup.

“Seminggu sebelum raya kita dah beli stok niaga untuk raya, dah keluar duit beribu tapi tiba-tiba tak boleh berniaga.

“Habis mana stok tu nak letak, saya terpaksa buang dan ada yang bagi orang. Saya rasa dekat RM10,000 kos, udang tu kalau satu kilogram RM80, kalau 100 kilogram dah berapa?.

“Peniaga ikan bakar memang tanggung rugi, tiap bulan mesti nak bayar kereta, sewa rumah dan kedai tapi pendapatan tak masuk…macam mana?,” katanya lagi.

AZRIN Izharuddin

Sementara itu, Azrin Izharuddin DZainal Abidin, 41, berkata, dia yang sudah 16 tahun mengusahakan perniagaan ikan bakar pernah mencuba insiatif lain untuk menjana pendapatan namun ia sia-sia.

“Biarpun sudah melakukan inisiatif lain bagi menjana pendapatan menjual ikan bakar menerusi jualan secara ‘delivery’, namun masih tidak mampu meraih permintaan daripada pelanggan.

“Macam tahun lepas dapat tempahan kerang satu kilogram sahaja untuk hantar ke sungai udang, agak-agak macam mana?.

“Pernah dalam satu hari maksimum tempahan sekitar lima sahaja, lebih baik tutup daripada rugi,” katanya yang berniaga di Medan Selera Ikan Bakar Crystal Bay, Alai, di sini.

Azrin Izharuddin berkata, dia pernah terfikir untuk mencari inisiatif lain tetapi semuanya memerlukan modal.

“Ada juga saya fikir nak niaga lain, tapi masalahnya sekarang ini duit yang ada ini kita terpaksa simpan dan berjimat.

“Kita tak dapat nak gerak hanya bergantung pada simpanan yang ada, nanti kalau perlukan waktu terdesak macam mana, simpanan yang ada pun dah kritikal,” katanya.

MOHAMMED Fared

Dalam pada itu, pekerja restoran ikan bakar Warisan D’Muara Kita, Mohammed Farid Sulaiman, 39, berharap akan ada bantuan diberikan kerajaan negeri.

“Pekerja seperti saya ni gaji harian bukannya bulanan, jika kedai tutup dah tentu kami tiada pendapatan, takkan nak harapkan bantuan majikan saja.

“Kalau ada kerja, adalah gaji, tak kerja tak ada gaji. Sebab itu kami harap sangat adalah bantuan untuk pekerja seperti kami ni.

“Memang lah isteri saya bekerja tapi sebagai suami takkan saya nak harapkan pendapatan isteri,” katanya yang sudah 14 tahun bekerja di kedai tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1385
Kongsi :
Previous post Bendera putih: Menang atau kalah?
Next post 10 rumah setinggan atas air musnah terbakar di Tanjung Aru Baru
Ubah saiz-+=