Lebuh raya pesisir pantai, M-WEZ antara projek akan dipertimbangkan – Mustapa

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KUALA LUMPUR 21 Jan – Dua projek ikonik di Melaka antara yang akan dipertimbangkan dan diberi perhatian dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata dua projek itu ialah lebuh raya pesisir pantai Melaka sejauh 52 kilometer dan koridor ekonomi Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ).

Berhubung projek M-WEZ, beliau berkata, Unit Perancang Ekonomi (EPU) akan mengadakan perbincangan di peringkat teknikal terlebih dahulu sebelum projek berkenaan diangkat ke peringkat lebih tinggi.

“Jadi, EPU akan berbincang dengan kerajaan negeri Melaka bagaimana untuk memperhalusinya lagi (Projek M-WEZ). Di pihak saya dan Perdana Menteri, ia sudah dibentang dan dimaklumkan.

“Mereka memohon agar diberi pertimbangan memandangkan hampir keseluruhan negeri di Malaysia ada projek koridor ekonomi, namun Melaka terkeluar dan ini ialah permohonan mereka sendiri.

“Jadi, apa yang kita akan buat ialah kita akan memperhalusinya lagi dan berjumpa di peringkat teknikal, selepas itu Ketua Menteri (Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali) akan berbincang dengan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata, demikian dalam sidang media selepas menghadiri Sesi Roadshow Pasca Rancangan Malaysia ke-12 Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri bersama kerajaan negeri Melaka di sebuah hotel di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zaidi Johari, semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, selain dua projek tersebut, peruntukan untuk sektor pelancongan juga akan diberi keutamaan memandangkan Melaka merupakan sebuah negeri pelancongan.

Katanya, beberapa insentif dan peruntukan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui pakej rangsangan ekonomi juga akan disalurkan kepada Melaka, yang menjadi antara negeri terjejas sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1405
Kongsi :
Previous post Pemandu tersepit, lori rempuh besi penghalang
Next post Melaka mohon RM10 bilion menerusi RMKe-12 – KM
Ubah saiz-+=