Lelaki ditahan bantu siasatan penganggur dibakar

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

ALOR GAJAH 12 Mac. – Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes penganggur dibakar rakannya sehingga melecur dalam kejadian Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, lelaki berusia 23 tahun itu ditahan kira-kira jam 1.25 pagi tadi di hadapan sebuah rumah di Taman Dimensi Lendu, dekat sini.

“Hasil soal siasat awal dijalankan lelaki terbabit mengaku berada di lokasi kejadian bersama mangsa dan suspek utama.

“Pihak polis juga sudah mengambil keterangannya bagi membantu melengkapkan siasatan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing ke atas lelaki itu juga mendapati dia turut positif dadah dipercayai methamphetamine.

“Selain itu semakan turut mendapati dia mempunyai tujuh rekod lampau membabitkan enam kes dadah dan satu kes jenayah di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu Arshad berkata, kes ini kini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh.

“Usaha mengesan suspek utama yang dipercayai melarikan diri kini giat dijalankan polis,” katanya.

Melaka Hari Ini (MHI) semalam melaporkan, akibat perselisihan faham seorang lelaki tergamak menyimbah petrol dan membakar rakan sendiri.

Dalam kejadian kira- kira jam 5 petang, mangsa berusia 23 tahun melecur di leher dan beberapa bahagian badan lain.

#bakarrakan

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

380
Kongsi :
Previous post Projek pengindahan jejambat MITC siap hujung bulan ini
Next post MPHTJ sedia bantu peniaga daftar suntikan vaksin COVID-19
Ubah saiz-+=